
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, manakala 11 lagi terkesan akibat gas bocor di sebuah kilang di Punjab, India pada Ahad.
Anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) dan polis sudah pun dikerahkan ke lokasi kejadian, menurut Ketua Menteri negeri Bhagwant Mann di Twitter.
Kejadian berlaku pada sebelah pagi di kawasan Giaspura di Ludhiana, kira-kira 320km dari New Delhi.
Menurut laporan televisyen tempatan, insiden itu berlaku di kilang produk tenusu.
Beberapa mayat ditemukan bergelimpang di jalan raya dan ramai penduduk melarikan diri akibat panik.
Seorang lelaki berkata, lima ahli keluarganya tidak sedarkan diri.
“Punca kebocoran dan jenis gas masih belum dapat dipastikan,” lapor Agensi Berita PTI memetik pegawai tempatan.