
BELGRADE: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menembak mati lapan murid dan seorang pengawal keselamatan di dalam bilik darjah sebuah sekolah di Belgrade, kata kementerian dalam negeri Serbia.
Seorang guru dan enam pelajar lain turut cedera dalam kejadian di sekolah rendah di ibu negara Serbia itu.
Seorang bapa, Milan Milosevic berkata anak perempuannya berada dalam bilik darjah itu ketika tembakan dilepaskan.
“Dia sempat menyelamatkan diri. Budak lelaki itu menembak guru sebelum melepaskan tembakan secara rambang.
“Saya melihat pengawal keselamatan itu terbaring bawah meja dan dua pelajar perempuan dengan baju berlumuran darah,” katanya.
Milosevic memberitahu badan penyiar N1, beliau bergegas ke sekolah berkenaan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Mereka berkata dia (suspek) pendiam dan pelajar baik. Dia baru menyertai kelas itu,” katanya.
Milan Nedeljkovic, datuk bandar daerah Vracar di mana sekolah itu terletak berkata doktor masih berusaha menyelamatkan guru berkenaan.
Menurut kenyataan kementerian dalam negeri, lapan murid dan seorang pengawal keselamatan terbunuh, manakala enam kanak-kanak turut dimasukkan ke hospital bersama guru berkenaan.
Menurut polis, seorang pelajar gred tujuh ditahan di pekarangan sekolah.
Polis sedang menyiasat motif di sebalik serangan itu.
Kejadian seumpama itu jarang berlaku di Serbia yang mempunyai undang-undang ketat terhadap pemilikan senjata api. Bagaimanapun, pemilikan senjata haram bukan asing di negara barat Balkan susulan perang di rantau itu pada 1990-an.
Dalam kejadian yang pernah direkodkan di Serbia sebelum ini, Ljubisa Bogdanovic membunuh 14 orang di Velika Ivanca pada 2013, manakala Nikola Radosavljevic membunuh sembilan orang dan mencederakan lima yang lain di Jabukovac pada 2007.
Pada 2015, Rade Sefer membunuh enam tetamu di majlis perkahwinan anak lelakinya di Senta, manakala setahun kemudian Sinisa Zlatic membunuh lima orang dan mencederakan 22 yang lain di sebuah kafe di Zitiste.
Semua pesalah berkenaan bagaimanapun adalah orang dewasa.