
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Selasa mengumumkan tuduhan dalam lima kes membabitkan dakwaan usaha mencuri teknologi bagi memanfaatkan China, Rusia dan Iran, melibatkan seorang bekas jurutera Apple Inc.
Bekas jurutera itu dituduh menyasarkan teknologi syarikat itu berhubung sistem autonomi, termasuk kereta pandu sendiri, kemudian melarikan diri ke China.
Kes-kes yang diperincikan pada sidang akhbar Jabatan Kehakiman itu tertumpu kepada dakwaan mengenai kecurian rahsia perdagangan dan teknologi lain. Dua daripada kes itu melibatkan apa yang disifatkan oleh pegawai AS sebagai rangkaian perolehan yang diwujudkan untuk membantu perkhidmatan tentera dan perisikan Rusia mendapatkan teknologi sensitif.
Lima kes itu kali pertama diumumkan oleh pasukan tindakan AS yang dibentuk pada Februari dengan tujuan antaranya untuk melindungi teknologi sensitif. Bagaimanapun, siasatan dikatakan bermula sebelum pasukan itu dibentuk.
“Kami berwaspada dalam menguatkuasakan undang-undang AS untuk menyekat teknologi sensitif daripada disalurkan kepada musuh asing kita,” kata Matt Olsen, ketua Bahagian Keselamatan Negara Jabatan Kehakiman, kepada pemberita.
“Kami komited melakukan segala yang mampu untuk menghalang alat canggih ini jatuh ke tangan musuh asing.”
Bekas jurutera Apple terbabit dikenal pasti sebagai Weibao Wang, 35, yang pernah menetap di Mountain View, California. Dia diambil bekerja oleh Apple pada 2016, menurut dakwaan pada April.
Pada 2017, dia menerima pekerjaan di AS dengan sebuah syarikat China untuk membangunkan kereta pandu sendiri sebelum meletak jawatan di Apple. Dikatakan Wang hanya memaklumkan Apple tentang pekerjaan baharunya selepas kira-kira empat bulan.
Selepas hari terakhir Wang di Apple, syarikat itu mendapati dia telah mengakses sejumlah besar data proprietari pada hari-hari sebelum dia meninggalkan syarikat itu, menurut Jabatan Kehakiman.
Menurut Jabatan Kehakiman, ejen persekutuan menggeledah rumah Wang pada Jun 2018 dan menemui data Apple dalam “kuantiti yang besar”. Tidak lama selepas rumahnya digeledah, dia menaiki pesawat ke China.
Usaha automotif Apple, yang dikenali sebagai Project Titan, berjalan secara tidak sekata sejak 2014, apabila syarikat itu mula mereka bentuk kenderaan dari awal. Menurut sebuah laporan yang diterbitkan pada Disember, Apple menangguhkan pelancaran kereta itu kepada 2026. Laporan yang difailkan dengan California menunjukkan Apple sedang menguji kenderaan di jalan raya negeri itu.
Apple enggan mengulas mengenai kes itu.
Dalam kes kedua berkait China, pendakwa AS mengumumkan tuduhan terhadap Liming Li, 64, dari Rancho Cucamonga, California, kerana mencuri rahsia perdagangan daripada majikannya yang berpangkalan di California untuk membangunkan perniagaannya sendiri, yang menjadi pesaing, di China.
Pendakwa di New York mendakwa Nikolaos “Nikos” Bogonikolos, 49, dari Greece atas tuduhan menyeludup teknologi ketenteraan AS ke Rusia semasa menjadi kontraktor pertahanan untuk NATO.
Warga Rusia Oleg Sergeyevich Patsulya dan Vasilii Sergeyevich Besedin masing-masing didakwa di Arizona kerana menggunakan syarikat mereka yang berpangkalan di Florida untuk menghantar alat ganti pesawat kepada syarikat penerbangan Rusia, sementara jabatan perdagangan, dalam tindakan selari, menggantung kelebihan eksport mereka.
Selain itu, pendakwa di New York mengumumkan tuduhan terhadap Xiangjiang Qiao, juga dikenali sebagai Joe Hansen, 39, kerana didakwa menggunakan syarikat China yang menjadi sasaran sekatan AS untuk menyediakan bahan yang digunakan dalam pengeluaran senjata pemusnah besar-besaran untuk Iran.
Qiao dan Wang kekal bebas di China, manakala empat defendan lain telah ditangkap, kata pegawai AS.