
SILVES: Polis telah mengakhiri pencarian selama tiga hari di sebuah kawasan takungan air di selatan Portugal, yang diharapkan dapat mencari penjelasan mengenai kehilangan kanak-kanak dari Britain, Madeleine McCann, pada 2007.
McCann, yang ketika itu berusia tiga tahun, hilang dari pangsapuri didiami keluarganya ketika bercuti di Algarve 16 tahun lepas, ketika ibu bapanya sedang menjamu selera di sebuah bar berhampiran.
Walaupun dengan operasi pencarian dijalankan pada peringkat antarabangsa, kanak-kanak itu tidak ditemui dan tiada sesiapa didakwa bertanggungjawab atas kehilangannya.
Polis dari Portugal, Jerman dan Britain serta anggota bomba Portugal terlibat dalam operasi pencarian di tebing empangan Arade, yang bermula pada Selasa.
“Bahan (bukti) yang dikumpul akan diserahkan kepada pihak berkuasa Jerman,” kata polis Portugal dalam kenyataan.
Mereka bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai barangan yang dikumpul, mahupun matlamat operasi berkenaan.
Operasi pencarian itu dimulakan atas permintaan pihak berkuasa Jerman, yang mendakwa sejak 2020 bahawa mereka yakin kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.
Mereka mengesyaki seorang pesalah seks Jerman, yang kini dipenjarakan di negara itu kerana merogol di Portugal, terlibat dengan kehilangan McCann.
Menurut pihak berkuasa Jerman, lelaki terbabit yang dianggap sebagai suspek utama, dikenal pasti sebagai Christian Brueckner yang menetap beberapa tahun di Algarve.
Akhbar tempatan melaporkan polis mencari selimut merah jambu atau baju tidur yang dipakai McCann pada malam dia hilang, iaitu 3 Mei 2007.
Dilaporkan bahawa polis menggunakan anjing pengesan dan dron dalam operasi pencarian di kawasan takungan air itu, dikatakan tempat selalu dikunjungi Brueckner.