
MILAN: Pengawal pantai Itali menjumpai bayi baru lahir mati atas sebuah bot membawa pendatang ke Pulau Lampedusa ketika operasi menyelamat, lapor agensi berita Ansa hari ini.
Bayi itu dilahirkan ketika dalam pelayaran dan meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan atas bot membawa kira-kira 40 pendatang.
Awal minggu ini, seorang bayi lelaki berusia lima bulan mati lemas semasa operasi menyelamat di Lampedusa selepas bot membawa pendatang merentasi laut dari Afrika Utara terbalik.
Hampir 126,000 pendatang tiba di Itali tahun ini, hampir dua kali ganda jumlah pada tarikh sama tahun lalu.
Kira-kira 7,000 pendatang mendarat di Lampedusa minggu ini saja, lebih ramai daripada penduduk tetap pulau itu yang terpaksa mendapatkan bantuan daripada ahli politik tempatan.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menggesa Kesatuan Eropah bertindak bersama “melalui operasi tentera laut jika perlu” bagi menghalang pendatang menyeberangi Mediterranean dari Afrika Utara.
Dalam video dimuat naik ke media sosial, Meloni menjanjikan tindakan tegas terhadap lonjakan ketibaan pendatang dalam minggu ini.