
TOKYO: Kerajaan Jepun akan mewujudkan talian hotline untuk mangsa lelaki penderaan seksual susulan skandal melibatkan agensi kumpulan “boyband” terbesar negara itu.
Talian itu terbuka untuk kanak-kanak dan dewasa lelaki selama tiga bulan mulai Jumaat, dengan pakar menjawab panggilan untuk memberi kaunseling, menurut pejabat jemaah menteri.
“Kami berharap mangsa akan berasa selamat dan mendapat bantuan tanpa rasa was-was,” kata Ayuko Kato, menteri dasar kanak-kanak kepada pemberita.
Tindakan ini susulan firma “boyband” Johnny & Associates mengakui buat kali pertama awal bulan ini bahawa pengasasnya Johnny Kitagawa melakukan serangan seksual terhadap beberapa rekrut muda selama berdekad-dekad.
Kitagawa, 87, meninggal dunia pada 2019 dan terlibat dengan kebangkitan kumpulan mega pop Jepun termasuk SMAP, TOKIO, dan Arashi yang menjadi kegilaan peminat di seluruh Asia.
Dakwaan bahawa dia menyerang secara seksual pemuda yang mengimpikan menjadi bintang popular pertama kali diuar-uarkan pada 1999.
Bagaimanapun, tahun ini siasatan penuh mula dilakukan susulan dokumentari oleh BBC yang disusuli pengakuan mangsanya.
Kerajaan Jepun menawarkan talian hotline 24 jam untuk mangsa serangan seksual tidak kira perempuan atau lelaki.
Bagaimanapun seorang pegawai jemaah menteri memberitahu AFP wujud kebimbangan bahawa lelaki mungkin kurang terbuka menggunakannya.
Hotline baharu ini adalah sebahagian daripada “pelan kecemasan” kerajaan bagi menangani penderaan seksual terhadap kanak-kanak.