
BANGKOK: Seorang penyeludup dadah dan seorang pegawai polis maut berbalas tembak selepas pihak berkuasa memintas sebuah kenderaan membawa satu tan methamphetamine di utara negara itu.
Pihak berkuasa berkata, insiden itu menyusul pemeriksaan rutin ke atas sebuah kenderaan membawa dua lelaki etnik Lahu di wilayah Chiang Rai, utara Thailand.
Kawasan “Segi Tiga Emas” di mana sempadan Thailand, Myanmar dan Laos bertemu, sekian lama menjadi lokasi penyeludupan dadah, khasnya syabu, walaupun serbuan kerap dilancarkan.
“Penyeludup dadah itu menembak mati seorang pegawai polis, jadi polis terpaksa melindungi diri dengan menembak suspek,” Tiwapong Pluto, ketua tempatan Biro Antinarkotik memberitahu AFP.
“Seorang lagi suspek sempat melarikan diri.”
Polis merampas satu tan syabu susulan tembakan itu.
Pihak berkuasa percaya dua lelaki itu sebahagian daripada sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang menyeludup dadah dari utara ke selatan Thailand.
Asia Tenggara dibanjiri dadah jenis syabu dan pihak berkuasa mencipta rekod dengan merampas berbilion pil itu di seluruh Asia pada 2021, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Negara jiran Myanmar dalam keadaan huru-hara dan ekonominya lumpuh sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, tetapi penghasilan dadah sintetik di negeri Shan berkembang pesat sebelum itu.