
SEOUL: Parlimen Korea Selatan yang dikuasai pembangkang meluluskan usul menggesa pemecatan Perdana Menteri, Han Duck Soo pada Khamis.
Sebanyak 175 undi menyokong, manakala 116 lagi undi menentang usul itu, lapor agensi berita Yonhap.
Parti Demokratik (DP) mengemukakan usul pemecatan kepada Parlimen Isnin lalu dengan mendakwa Han tidak cekap sebagai ketua Kabinet dan menuntutnya bertanggungjawab terhadap dasar Presiden, Yoon Suk Yeol.
Ini julung kali usul pemecatan terhadap perdana menteri diluluskan Parlimen.
Yoon dijangka menolak usul berkenaan.
DP meluluskan dua usul pemecatan sejak pentadbiran Yoon – satu terhadap Menteri Luar, Park Jin dan satu lagi terhadap Menteri Dalam Negeri, Lee Sang Min. Kedua-duanya ditolak presiden.
Parlimen turut meluluskan usul memohon persetujuannya terhadap kemungkinan menahan ketua pembangkang, Lee Jae Myung, keputusan mengejutkan yang menunjukkan beberapa Ahli Parlimen tidak sehaluan dengan Lee.
Justeru, perbicaraan mahkamah akan diadakan untuk menentukan sama ada waran tangkap dikeluarkan ke atas Lee berhubung tuduhan rasuah berkaitan projek pembangunan tanah dan pemindahan wang haram syarikat ke Korea Utara.
Namun, tidak jelas sama ada Lee akan hadir perbicaraan itu kerana beliau melancarkan mogok lapar sejak 31 Ogos lalu sebagai protes terhadap pengendalian hal ehwal negara oleh Yoon dan dimasukkan ke hospital awal minggu ini disebabkan kesihatannya semakin merosot.
Lee merayu usul itu ditolak sehari sebelumnya.
Menurut undang-undang, Ahli Parlimen sedang berkhidmat mempunyai kekebalan ditahan semasa Parlimen bersidang dan hanya boleh ditahan apabila Parlimen memberi persetujuan.
Pejabat presiden bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai undian pada Khamis itu.
Pihak pendakwaan menuduh Lee melakukan pecah amanah 20 bilion won (USD15.06 juta) dengan memberikan layanan istimewa kepada pemaju swasta dalam projek pangsapuri daerah Baekhyeon-dong di Seongnam, selatan Seoul, antara 2014 dan 2015, ketika beliau menjadi datuk bandar.
Lee juga disyaki meminta Ssangbangwool Group, pembuat pakaian dalam memindahkan USD8 juta secara haram ke Korea Utara antara 2019 dan 2020, ketika beliau menjadi gabenor Gyeonggi, melalui timbalannya untuk memudahkan lawatannya ke Korea Utara dan mendorong projek ladang pintar antara negerinya dan Pyongyang.