
HOUSTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan penubuhan Pejabat Pencegahan Keganasan Senjata Rumah Putih yang pertama seumpamanya di AS untuk menangani kes kematian akibat insiden tembakan.
“Senjata api adalah pembunuh nombor satu kanak-kanak di Amerika, berbanding kemalangan kereta, akibat kanser, dan penyakit lain.
“Pada 2023, setakat ini negara kita telah mengalami lebih daripada 500 insiden tembakan besar-besaran dan lebih 30,000 kematian akibat keganasan senjata api. Ini sama sekali tidak boleh diterima…kita perlu bertindak sekarang,” kata Biden pada sidang akhbar Rumah Putih, lapor Agensi Anadolu.
Biden berkata, pejabat baharu itu diwujudkan melalui perintah eksekutif yang bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan “Bipartisan Safer Communities Act” yang diluluskan Kongres tahun lalu.
Penubuhannya juga antara lain bertujuan untuk menyediakan khidmat sokongan kepada mangsa terselamat, keluarga, dan komuniti yang terjejas, termasuk penjagaan kesihatan mental dan bantuan kewangan.
Presiden Biden berkata, gabungan membanteras penggunaan senjata api secara haram, memerangi kumpulan penyeludupan senjata api, dan pemeriksaan ketat akan menyumbang pengurangan keganasan senjata api.
Beliau turut berikrar meneruskan usaha mengharamkan penyalahgunaan senjata api.
Naib Presiden Kamala Harris akan bertanggungjawab menerajui pejabat baharu itu.
“Di negara kita hari ini, satu daripada lima orang telah kehilangan ahli keluarga akibat keganasan senjata api. Setiap hari, kira-kira 120 rakyat Amerika terbunuh dengan senjata api.
“Kita tidak boleh menormalkan semua ini. Ini bukan statistik semata-mata. Ini anak-anak kita, adik-beradik kita, ibu, dan bapa kita,” kata Harris.