
RIYADH: Beberapa yayasan sukan dari negara majoriti Islam berkata tindakan Perancis melarang atletnya berhijab memberi mesej “penyingkiran”.
Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) berpangkalan di Riyadh menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Perancis itu, yang dilakukan seiring peraturan sekularisme ketat diamalkan negara berkenaan.
Menteri Sukan Perancis Amelie Oudea-Castera bulan lalu berkata kerajaan Perancis menentang penggunaan ‘simbol keagamaan’ secara terbuka dalam acara sukan.
“Pasukan Perancis tidak akan memakai hijab,” katanya dalam siaran televisyen France 3.
ISSF dalam kenyataan berkata, hijab adalah “satu aspek identiti ramai Muslimah dan wajar dihormati”, dengan menambah larangan itu mungkin menghalang segelintir atlet Muslimah daripada menyertai pertandingan.
“Sukan Olimpik sejak sekian lama menyambut kepelbagaian, penyatuan dan kecemerlangan sukan,” menurut kenyataan itu.
“Larangan berhijab untuk atlet mereka memberi mesej penyingkiran, sifar toleransi dan diskriminasi yang bertentangan semangat Olimpik.”
Kenyataan itu turut menggesa pihak berkuasa Perancis mempertimbangkan semula larangan itu dan menggesa perbincangan lebih bermakna dengan masyarakat sukan Muslim di negara itu.
ISSF ditubuhkan pada 1985 untuk memberi khidmat kepada ahli Pertubuhan Persidangan Islam dalam semua aspek aktiviti sukan. ISSF telah menganjurkan lima Sukan Perpaduan Islam lima kali, dengan kali terakhir di Turki tahun lalu.
Pejabat hak asasi PBB tidak mengulas larangan hijab terhadap atlet Perancis itu secara langsung, tetapi jurucakap minggu lalu menyatakan “tidak siapa patut menetapkan apa yang patut dipakai seorang wanita atau sebaliknya”.