
BANGKOK: Polis Thailand berkata seorang suspek remaja berusia 14 tahun ditahan selepas kejadian tembak di pusat beli-belah mewah Siam Paragon, Bangkok, yang mengakibatkan tiga maut dan empat cedera.
Jabatan detektif polis Metropolitan berkata di laman Facebook, remaja disyaki penembak itu ditahan dan kini sedang disoal siasat.
Pasukan kecemasan mengongsikan gambar seorang pegawai polis menahan dan menggari seorang individu yang tertiarap di atas lantai.
Biro Siasatan Pusat sebelum itu memuat naik gambar yang tidak jelas di Facebook memaparkan individu dikatakan penembak terbabit, yang memakai seluar kargo khaki serta topi besbol.
Video yang tular di media sosial menunjukkan keadaan kelam-kabut dengan orang ramai termasuk kanak-kanak bertempiar lari keluar dari pusat beli-belah itu.
Dalam satu video lain, orang ramai dilihat berlindung dalam gelap di sebuah restoran di pusat beli-belah itu.
Siaran langsung di televisyen pula menunjukkan kesesakan lalu lintas teruk dengan keadaan hujan lebat di luar premis berkenaan.
Perdana Menteri Srettha Thavisin ketika mengulas kejadian itu di X berkata: “Saya maklum mengenai kejadian tembak di Siam Paragon dan telah mengarahkan polis menyiasat. Saya amat bimbangkan keselamatan orang ramai.”
Keganasan senjata api bukan perkara asing di Thailand.
Tahun lalu, 22 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan mati dalam serangan tembak dan pisau oleh seorang bekas anggota polis.
Dua tahun sebelumnya pada 2020, seorang askar menembak mati sekurang-kurangnya 29 orang manakala 57 cedera dalam serangan di empat lokasi sekitar Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand.