
LUCKNOW: Pihak berkuasa di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, melarang pengagihan dan penjualan produk disahkan halal termasuk barangan tenusu, pakaian dan ubatan kerana dikatakan menyalahi undang-undang.
Produk bakeri, gula, minyak boleh dimakan serta produk lain yang dilabel “disahkan halal” oleh syarikat pembuatnya, akan dilarang daripada diagihkan dan dijual, menurut makluman kerajaan negeri pada Sabtu.
“Persijilan halal produk makanan adalah sistem selari yang mewujudkan kekeliruan berhubung kualiti barangan makanan,” menurut makluman berkenaan.
Pihak Berkuasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India (FSSAI) adalah badan tertinggi negara itu yang bertanggungjawab terhadap menentukan piawaian bagi kebanyakan produk makanan dijual.
Uttar Pradesh yang dipimpin sami berhaluan kanan, Yogi Adityanath dari Parti Janata Bharatiya (BJP) Perdana Menteri Narendra Modi, adalah negeri terbesar dan paling ramai penduduk India.
Pengkritik menuduh Adityanath dan kerajaannya mempunyai agenda terhadap penduduk Muslim negeri itu.
“Agama tidak patut dicampurkan dalam isu makanan. Banyak barangan seperti pakaian, gula dilabelkan sebagai halal yang melanggar undang-undang,” kata jurucakap BJP Rakesh Tripathi kepada Reuters.