
TIRANA: Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Demokratik Albania mencampak bom asap dan mencetuskan kebakaran kecil ketika sesi dewan hari ini dalam usaha menghalang undian terhadap belanjawan 2024.
Ahli Parlimen mengumpulkan kerusi di tengah dewan sebelum asap berwarna merah, hijau dan ungu memenuhi kamar berkenaan sementara anggota keselamatan menghalang pembantah menghampiri kerusi Perdana Menteri Edi Rama.
Seorang Ahli Parlimen dilihat membakar api kecil yang merebak sebelum terus dipadamkan.
Pemimpin de facto parti itu, Sali Berisha yang juga bekas perdana menteri, menuduh kerajaan cuba menyekat pembangkang dalam parlimen, di mana Parti Sosialis pimpinan Rama memiliki kuasa majoriti.
“‘Perang’ ini tidak boleh dihalang. Sasaran kami adalah membawa pluralisme ke parlimen,” kata Berisha kepada wartawan selepas kejadian itu.
Bulan lalu, Berisha dan menantu lelakinya didakwa atas tuduhan rasuah berhubung urusan jual beli tanah melibatkan kelab sukan.
Berisha dituduh menggunakan pengaruhnya sebagai perdana menteri dari 2005 hingga 2009 untuk memberi tekanan bagi menamatkan prosedur penswastaan.
Menantunya itu ditahan, tetapi Berisha mempunyai kekebalan daripada pendakwaan sebagai Ahli Parlimen. Dia bagaimanapun dilarang meninggalkan negara itu.