
NAIROBI: Sekurang-kurangnya 61 orang terbunuh manakala ribuan lagi hilang tempat tinggal dalam banjir besar susulan hujan lebat di seluruh Kenya.
Menurut Persatuan Palang Merah Kenya, lebih 80,000 penduduk negara Afrika Timur itu hilang tempat tinggal.
Sementara itu, lebih lapan orang dihanyutkan arus deras manakala kira-kira 235 lagi cedera.
Ketua Pengurusan Bencana Palang Merah Kenya Michael Ayabei memberi amaran bahawa keadaan semakin buruk dengan hujan dijangka berterusan.
Jabatan Meteorologi negara itu meramalkan hujan akan berterusan sehingga Januari.
Ratusan rumah sama ada dihanyutkan atau ditenggelami banjir, manakala haiwan ternakan mati lemas setelah ladang turut ditenggelami air.
Hujan lebat juga menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan dan penduduk yang hilang tempat tinggal mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi.
Sementara itu, kerajaan Kenya pada Isnin berkata, sebanyak 33 daripada 47 daerah di negara itu terjejas akibat banjir.
Setiausaha Kabinet Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara Kithure Kindiki dalam kenyataan berkata, pasukan tindak balas bencana dan pasukan keselamatan telah diaktifkan bagi mengenal pasti lokasi yang mungkin terjejas teruk, lapor Xinhua.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Kenya, Somalia dan Ethiopia merupakan negara paling terjejas dengan perubahan iklim.