
DOHA: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh mendedahkan pasukan tenteranya hampir mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Israel, menurut kenyataan dimuat naik ke Telegram.
“Kami hampir mencapai persetujuan gencatan senjata,” kata Haniyeh dalam catatan pada Selasa.
Perunding berusaha memuktamadkan perjanjian bagi pembebasan sebahagian daripada kira-kira 240 tebusan Israel yang ditahan pada 7 Okt lalu.
Israel melancarkan kempen pengeboman tanpa henti dan serangan darat, selain berikrar memusnahkan Hamas serta membebaskan tebusan.
Menurut kerajaan Hamas di Gaza, konflik itu meragut lebih 13,300 nyawa, dengan ribuan daripadanya ialah kanak-kanak.
Rundingan di mana Qatar menjadi orang tengah giat dijalankan.
Ahad lalu, perdana menteri Qatar dilaporkan berkata, perjanjian membebaskan beberapa tebusan sebagai balasan melaksanakan gencatan senjata sementara bergantung kepada isu praktikal “kecil”.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Isnin berkata, beliau percaya perjanjian membebaskan tebusan hampir selesai.
Dua sumber yang mengetahui rundingan itu memberitahu AFP, perjanjian tentatif termasuk gencatan senjata selama lima hari di darat dan mengehadkan operasi udara Israel di selatan Gaza.
Sebagai balasan, 50 hingga 100 tebusan ditahan Hamas dan sebuah kumpulan Palestin berasingan akan dibebaskan. Ia termasuk orang awam Israel dan warganegara lain, tetapi tiada anggota tentera.
Di bawah perjanjian dicadangkan itu, kira-kira 300 rakyat Palestin akan dibebaskan dari penjara Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak.
White House berkata, rundingan itu di peringkat “penamat” dan ia enggan memberi butiran lanjut bagi mengelakkan hasilnya terjejas.
Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah pada Isnin berkata, presidennya sudah ke Qatar untuk menemui Haniyeh “bagi membincangkan isu kemanusiaan berkaitan konflik bersenjata di Israel dan Gaza”.
Pertubuhan yang berpangkalan di Geneva itu dalam kenyataan berkata, ia terus “merayu perlindungan segera bagi semua mangsa konflik itu dan mengurangkan situasi dahsyat kemanusiaan di Semenanjung Gaza”, serta “menggesa secara berterusan untuk tebusan dibebaskan segera”.