Setiap rakyat Indonesia bazir 300kg makanan setiap tahun

food-wastagefmt-ohsem-inside-article1Secara purata seorang daripada rakyat Indonesia dilapor membazirkan kira-kira 300kg makanan setahun. Angka itu merupakan yang tertinggi di dunia.

Data Unit Perisikan Ekonomi (EIU) Indonesia dalam kajian 2016 mendedahkan Indonesia harus merombak infrastruktur dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna bagi membendung isu pembaziran makanan yang semakin meningkat.

Negara pembazir terbesar yang lain adalah Amerika Syarikat dengan purata pembaziran sebanyak 277kg makanan bagi seorang setiap tahun. Ia diikuti Arab Saudi yang membazirkan 196kg bagi seorang setiap tahun.

Pakar berkata, kadar pembaziran tertinggi di Indonesia disebabkan kekurangan infrastruktur antara wilayah pengeluar makanan dan pusat utama penduduk, lapor Jakarta Globe.

Indonesia mempunyai kapasiti penyimpanan sejuk sebanyak 200,000 tan makanan, namun ia memerlukan sekurang-kurangnya 1.7 juta tan tahun ini, 30% lebih daripada 2 tahun lalu, menurut EIU.

Ironinya, pembaziran ini berlaku di sebuah negara dengan penduduk yang masih berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan iaitu 7.6% daripada 260 juta penduduk.

Malah, 36% kanak-kanak di bawah 5 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut kerana kekurangan zat makanan yang berpanjangan dan 14% kanak-kanak mengalami masalah kekurangan jisim otot akut.

Ekoran itu, EIU mencadangkan agar kerajaan negara itu mengenakan denda insentif untuk isi rumah dan perniagaan yang mempunyai lebihan makanan ataupun menggunakan makanan yang boleh dimakan untuk kegunaan manusia, makanan haiwan, kegunaan industri dan pencernaan anaerobik serta kompos.

Petani Indonesia juga disarankan didedahkan dengan ilmu menyimpan hasil mereka untuk mengelakkan tarikh tamat pra-matang.