Nenek jangkaui usia 105 tahun kerana rajin mengaji al-Quran

Setiap manusia yang lahir di dunia ini mempunyai jangka hayat yang berbeza. Semuanya bergantung kepada cara atau gaya hidup dan latar belakang mereka.

Walaupun risiko kematian bukan sesuatu yang boleh dihalang atau dinafikan, tetapi ramai yang masih direstui dengan jangka usia yang panjang dan sihat.

Sama juga dengan seorang warga emas dari Besout, Perak, Siti Kalsom Sonowi yang direstui dengan usia 105 tahun.

Menurut laporan Sinar Harian, Siti Kalsom mengaji al-Quran dan menunaikan solat sunat antara rahsia beliau hidup melebihi usia 100 tahun.

“Sejak muda lagi, mak cik habiskan masa baca al-Quran dan buat ibadah solat sunat dari jam 1 hingga 4 pagi dan berehat sebentar dan kemudiannya terus menunaikan solat Subuh diikuti solat Dhuha,” katanya yang meluangkan 3 jam sehari untuk berjaga pada awal pagi.

Wanita tertua di Sabak Bernam itu juga tidak menafikan amalan pemakanan sihat sebagai satu lagi rahsia umur panjang beliau.

Buah-buahan tempatan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman wajib diambil Siti Kalsom dalam pemakanan seharian.

“Biasannya saya makan dalam kuantiti sedikit, tetapi lebihkan sayuran dan ulam.

“Antara lauk kegemaran mak cik ialah sup ikan dan ikan masak asam,” katanya kepada akhbar itu.

Usia panjang sahaja tidak mencukupi, Siti Kalsom juga selesa menguruskan diri sendiri termasuk berjalan ke tandas tanpa bantuan sesiapa di samping mempunyai tahap penglihatan yang masih lagi terang.

Siti Kalsom juga sering dipuji masyarakat setempat kerana daya ingatan yang kukuh selain bebas dari sebarang penyakit kronik.

Satu-satunya masalah kesihatan yang beliau hadapi ialah masalah pendengaran yang semakin lemah.

Bagaimanapun, ibu kepada 9 anak dan 38 cucu itu masih aktif dan tinggal bersama cucunya di Kampung Tebuk Rukun, Parit Baru Baroh, Sabak Bernam.