Jangan pandang remeh kemampuan warga emas

Benarkah warga emas yang masih sihat dan aktif bekerja menjadi punca yang menghalang generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat?

Golongan yang berusia 60 tahun ke atas dan masih berada dalam dunia pekerjaan kerap dijadikan isu oleh masyarakat khususnya orang muda. Dan, sekiranya timbul ura-ura untuk meningkatkan lagi umur persaraan, pasti ada pihak yang ‘bising’ dan membantah cadangan tersebut.

‘Dah tua, tak reti nak berehat ke?’ ‘Bilalah orang tua ni nak pencen, tengok muka pun dah bosan’ – antara kata-kata negatif yang sering kedengaran apabila ada warga emas menyatakan kesediaan untuk terus bekerja.

Itulah yang dialami anggota-anggota Persatuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Warga Emas Universiti Era Ketiga (U3A) Kuala Lumpur dan Selangor (PSHWE/U3A) dan dikongsikan mereka pada setiap aktiviti diskusi anjuran persatuan itu.

Menurut Presidennya, Shuib Dahaban, 73, masih ramai dalam masyarakat yang terikat dengan ideologi ‘orang tua tidak lagi produktif, tidak berguna dan tidak diperlukan masyarakat’.

“Ada ahli persatuan yang ingin terus bekerja selepas bersara kerana masalah kewangan namun, mereka langsung tidak diberi peluang,” katanya.

Stigma

Ditubuhkan pada 2010, PSHWE/U3A bertujuan mempromosikan penuaan sihat dan produktif menerusi aktiviti pembelajaran sepanjang hayat seperti penawaran pelbagai kursus khas dan terpilih seperti tulisan khat, batik canting, gamelan, kemahiran kraf dan sebagainya.

Sehingga kini, ia mempunyai 300 pesara dari pelbagai profesion.

Pada mulanya, PSHWE/U3A hanya projek perintis Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM) namun kini, ia bergerak sendiri atas nama persatuan.

Shuib, yang juga bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria Institution, berkata stigma negatif terhadap warga tua bukan hanya dalam pekerjaan malah ketika mereka mahu mempelajari sesuatu kemahiran misalnya alat muzik.

“Ada yang kata ‘dah buang terbiat ke orang tua ini nak belajar main biola’. Kita sebenarnya hendak menghapuskan mentaliti sebegini kerana ia sedikit sebanyak menyukarkan matlamat negara mewujudkan komuniti warga emas produktif,” katanya.

Persekitaran negatif yang mengekang golongan itu untuk terus mengoptimumkan keupayaan diri membuatkan ada di antara mereka berasa kecewa, rasa tidak berguna, sekali gus menjejaskan kesihatan emosi mereka.

Keadaan mula bertambah kritikal apabila ada yang terpaksa berjauhan dengan anak-anak sehingga menyebabkan warga emas itu berisiko menghadapi sindrom ‘empty nest’ iaitu merasa kesunyian dan sedih kerana tinggal bersendirian.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-empat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang dipadankan dengan hasil banci penduduk dan perumahan 2010 mendapati kira-kira 23% atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia mengalami sindrom tersebut.

Justeru itu, persatuan tersebut berpendapat adalah amat penting supaya stigma itu dihapuskan dalam mewujudkan persekitaran yang dapat mengukuhkan lagi potensi warga emas.

Dalam usaha mengurangkan kesunyian mereka, persatuan itu menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak seperti Kolej Komuniti dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk mengadakan program kursus pendek seperti muzik dan sebagainya.

“Mereka akan terima sijil selepas habis program. Ada ahli kita yang buka kedai kek selepas menjalani kursus kulinari setelah banyak kali gagal mendapatkan pekerjaan disebabkan stigma ‘orang tua’,” katanya.

‘Age stereotypes’

Mengulas mengenai stigma berkenaan, Fellow Penyelidik MyAgeing, Dr Jariah Masud, berkata persekitaran negatif seperti itu dikenali sebagai ‘Age Stereotypes’ di mana wujudnya pandangan peribadi sebahagian besar masyarakat yang bersifat berat sebelah mahupun berprasangka buruk terhadap pekerja tua.

Mereka melabelkan warga emas sebagai membebankan, degil, tidak mahu dengar arahan, prestasi buruk, susah hendak belajar benda baharu dan apa yang amat memeranjatkan sekali adalah tanggapan itu turut melingkari kalangan pegawai sumber manusia.

Hasil kajian dan taklimat anjuran institut berkenaan sejak 2015 mendapati bahagian sumber manusia di beberapa syarikat yang kurang berminat mengambil pekerja berusia tua.

Malah, mereka mengiklankan pekerjaan kosong dengan had umur tertentu seperti di bawah 40 tahun sedangkan jawatan berkenaan sebenarnya boleh juga diisi oleh pekerja tua.

“Pengalaman saya memberi taklimat kepada beberapa syarikat mengenai kajian pekerja matang sangat mengejutkan. Ini kerana, mereka menyatakan matlamat kajian institut untuk menggalakkan pekerja tua terus bekerja adalah bertentangan dengan falsafah sumber manusia yang tidak mahu meneruskan khidmat pekerja tua.

“Pekerja baharu diambil untuk menggantikan pekerja tua yang bersara. Pekerja muda yang dibayar gaji rendah tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran setara dengan pekerja yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman,” katanya.

Dalam hal ini, Jariah berkata tidak timbul isu pekerja tua menutup peluang pekerjaan mahupun kenaikan pangkat kepada generasi muda.

Masyarakat harus sedar Malaysia sedang mengalami peningkatan pantas populasi warga tua manakala bilangan penduduk muda semakin menurun, yang memerlukan pengukuhan potensi dan memanfaatkan pengalaman warga emas.

Kurang kesedaran

Stigma warga emas tidak produktif disebabkan masih ramai yang belum sedar Malaysia bakal menjadi sebuah ‘Negara Menua’ pada 2035 di mana populasi berumur 60 tahun dan ke atas melebihi 15% daripada jumlah populasi negara.

“Apabila kami memberi penjelasan kepada pegawai sumber manusia mengapa perlunya warga emas aktif dan pentingnya memanfaatkan pengalaman golongan itu disebabkan status negara menua, ramai tidak tahu mengenainya.

“Kurangnya kesedaran ini mungkin disebabkan tidak banyak pendedahan mengenai aktiviti aktif golongan tersebut. Biasanya, yang banyak dipaparkan adalah orang tua sakit, tak berdaya, hidup melarat dan sebagainya.

“Ia sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran masyarakat. Sebab itulah, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad kembali sebagai Perdana Menteri yang berusia 93 tahun, masih aktif dan cergas, ramai yang terkejut,” katanya.

Kebangkitan semula Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan yang paling tua di dunia sekali gus menolak stigma masyarakat bahawa warga emas sudah tidak boleh lagi memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

Malah, Kajian Perkhidmatan Penjagaan Warga Emas 2016 MyAgeing mendapati anggaran 0.04% sahaja warga emas terlantar atau kurang upaya yang tinggal di beberapa institusi perkhidmatan penjagaan warga emas.

Kajian MyAgeing juga mendapati warga emas sihat dan berkemampuan merupakan kumpulan terbesar dalam kalangan warga emas. Oleh itu, adalah wajar lebih banyak pendedahan aktiviti warga emas aktif dilaporkan media sekali gus boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.

Persekitaran

“Anak dan anggota keluarga lain perlu membuka peluang kepada orang tua untuk terus terlibat dalam masyarakat. Ada anak yang tidak memberi ibu bapa mereka bekerja kerana takut dengan persepsi kononnya mereka tidak membantu atau menjaga orang tua mereka.

“Sedangkan emak ayah mereka masih berkemampuan menyalurkan ilmu kepada masyarakat. Kalau tidak bekerja, galakkan juga ibu bapa mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan,” kata Jariah.

Dalam hal ini, pihak kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan wajar memikirkan kaedah dan membuka lebih banyak ruang serta peluang untuk warga emas terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Kelab mahupun pusat aktiviti warga emas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat juga perlu diaktifkan dan diberi pengisian lebih sesuai untuk meningkatkan kesejahteraan mereka termasuk peluang pembelajaran sepanjang hayat di kawasan bandar dan luar bandar.