Filem Tamil Malaysia ke UK selepas kutip RM500,000 dalam seminggu

Membikin sebuah filem bukanlah perkara mudah atau boleh diambil remeh. Ini kerana kegagalan dalam memberi komitmen dalam menghasilkan sebuah karya seni yang baik boleh memberi kesan kepada filem-filem mendatang yang lain.

Gabungan pasangan pengarah dan penerbit yang juga suami isteri, Dr. Vimala Perumal serta Denes Kumar juga mengambil kira esen yang sama sejak pembikinan filem bahasa Tamil pertama pasangan itu, Vilaiyadhu Passange (VP1), kemudiannya Vetti Passange (VP2) dan terkini Vedigundu Passange (VP3).

Komitmen yang sama jugalah akhirnya membuahkan hasil yang tidak dijangka oleh Veedu Production milik pasangan ini sehingga mencapai kutipan RM500,000 pada minggu pertama tayangan.

Ia merupakan kejayaan industri perfileman Tamil tempatan yang selama ini diulit dengan pelbagai cabaran untuk mencapai penontonnya sendiri. Ini kerana ramai penonton filem Tamil tempatan masih memilih untuk mengikut filem Kollywood mahupun Bollywood dan bukannya Malaysia.

Filem VP3 arahan Vimala menggunakan formula seiring filem Tamil dari India tanpa membelakangkan elemen tempatan.

Tidak dinafikan, selain VP3, beberapa filem Tamil hasil pengarah tempatan lain juga berjaya mendapat pengiktirafan penontonnya misalnya Mainthan, Vennira Iravugal, Maravan, The Farm – EVT dan beberapa lagi.

Kembali kepada VP3 yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang, FMT Ohsem mengupas 5 perkara menarik dan kontroversi yang dijelaskan oleh penerbit dan pelakon utamanya, Denes.

1. RM500,000 kutipan dalam seminggu
Ia merupakan pencapaian terbaik bagi sebuah filem Tamil tempatan. Menurut Denes, ia menunjukkan sokongan penonton kepada sebuah filem berkualiti. Jelasnya, selepas membikin beberapa filem, Vimala akhirnya dapat menggarap keperluan sebenar penonton dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari supaya ia mencapai lebih ramai penonton Malaysia yang berbilang bangsa. “Kami membelanjakan RM1.5 juta untuk mendapatkan kualiti ini, jadi kami masih mengharapkan yang lebih banyak daripada penonton.”

2. VP3 100% filem Malaysia?
Terdapat kontroversi dan ketidakpuasan atas tuntutan filem ini sebagai produk tempatan. Ini kerana komposer lagu bagi filem ini adalah duo dari Kollywood di India, Vivek-Mervin.
Bagaimanapun Denes ada jawapannya; “Kami mahu menayangkan filem ini di India yang mana merupakan pasaran terbesar selain di Singapura, Sri Lanka dan United Kingdom. Jadi kami perlukan kerjasama dari mereka (India). Sama ada kita bekerjasama dari segi krew atau pelakon dan kami memilih untuk bekerja dengan komposer muzik. Menariknya mengenai kolaborasi ini, kini lagu-lagu VP3 mencapai penonton global sehingga menjadi tarikan utama ke panggung wayang. Kita juga menggunakan penyanyi tempatan untuk lagu-lagu ini.”

3. Tiada heroin lain selain Sangeetha?
Pemilihan Sangeetha Krishnasamy sebagai heroin VP3 juga dipersoal selepas kebanyakan pengarah tempatan memiliki wanita berwajah manis ini menghiasi karya mereka. Bagi Denes, pemilihan Sangeetha bukan atas dasar kecantikan semata-mata sebaliknya percaya di atas kemampuannya menjayakan sesuatu watak selain komitmen beliau dalam setiap babak. “Kita tak jemu pula menonton pelakon yang sama dalam Kollywood atau Bollywood, mengapa mesti jemu dengan wajah tempatan?” soalnya mempertahankan pemilihan pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) untuk filem Adiwiraku tahun lalu.

4. Filem yang membawa pesanan komuniti secara bersahaja
Vimala mempunyai bakatnya tersendiri apabila mampu menyampaikan mesej komuniti dalam setiap bingkai tanpa elemen serius atau berbentuk “nasihat” secara langsung. Filem VP3 juga membawa elemen sama, di mana ia bukan sahaja menceritakan elemen jenayah khususnya isu ragut tetapi elemen hubungan bapa dan anak, kebudayaan dan sebagainya. Bagaimanapun elemen isu ragut menjadi intipati utama yang mengangkat seluruh penceritaannya.

5. Apakah VP3 sebuah trilogi?
Apa maksud sebenar trilogi? Trilogi tidak semestinya mengenai 3 kisah berturutan tetapi juga 3 perkara yang saling berkait. Dalam hal ini, Denes akui ketiga-tiga filem yang dihasilkan pasangan itu, membawa pelakon yang sama. “Ia juga menceritakan hal ehwal yang lebih kurang serupa berkisarkan watak utama tetapi dalam bingkaian yang berbeza. Kami memperbaiki mutu dan membawa pembaharuan dalam setiap siri VP ini,” katanya.

Filem VP3 ini dijangka ditayangkan di Tamil Nadu, India, Singapura, Sri Lanka dan bakal mencatat sejarah sebagai filem Tamil Malaysia pertama yang ditayangkan di United Kingdom.

Filem ini turut dilakoni Thangamani, David Anthony, Magen Vikadakavi, Seelan Manoheran, Prakash Krishna dan ramai lagi.