Kerja, keluarga faktor kemurungan rakyat Malaysia

Kemurungan atau depresi boleh memberi kesan yang sangat buruk kepada kehidupan kita. Tekanan kerja dan keluarga dikatakan salah satu punca utama peningkatan masalah kemurungan yang turut menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit mental.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu laporan Bernama memetik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang mengesahkan penyakit kesihatan mental sebagai masalah kesihatan utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020.

Pada tahun lepas, sebanyak 29% rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12% pada 2011.

“Kebanyakan orang mendapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres, dan keadaan lebih sukar apabila individu itu berdepan masalah daripada anggota keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.

“Terdapat peluang lebih tinggi seseorang itu akan hanya berdiam diri dan memendam emosi apabila mereka tidak mencari cara untuk meluahkan kekecewaan mereka,” kata beliau.

Dalam pengiraan jangka panjang iaitu dari 2011 hingga 2015 pula, masalah depresi meningkat sehingga 50% sekaligus menandakan keperluan rakyat menangani penyakit ini dan membangunkan strategi pencegahan.

Lee turut menasihatkan agar pelbagai program efektif dalam mengendalikan kesejahteraan mental, dan beberapa langkah untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan mengelakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya 45 minit sebelum masuk tidur, katanya.

Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya pula memberi harapan dengan menyatakan masalah depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal.

FMT Ohsem, mengutip beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk merawat masalah kemurungan daripada sumber laman-laman berkaitan kesihatan mental.

1. Dapatkan bantuan rakan, kenalan, ahli keluarga atau pihak ketiga

Sokongan daripada seseorang atau sesebuah pihak amat penting dalam menangani masalah ini. Berbual dan berkongsilah perkara yang menjadikan anda diselubungi kemurungan.

2. Tidur

Tidur yang baik penting untuk kesihatan mental seseorang khususnya mereka yang masih muda dan sedang berdepan detik cemas dalam hidup. Tidur berkualiti memberikan anda ketenangan dalaman yang akhirnya memberikan kejelasan dalam setiap keputusan.

3. Makanan bernutrisi

Jangan sekali-kali meninggalkan atau mengendah pengambilan makanan berkhasiat. Kemurungan mungkin mempengaruhi paten makanan anda dengan keinginan terhadap makanan bergula, goreng atau makanan segera. Tidak kurang bagi mereka yang langsung tidak makan. Ingat, makanan bernutrisi memberikan anda pelbagai manfaat kesihatan yang turut menyumbang kepada kecergasan minda.

4. Senaman

Senaman yang baik dan menepati keperluan amat penting dalam menangani kemurungan. Senaman ini juga tidak semestinya berbentuk agresif atau lasak, sebaliknya boleh menjadi senaman yang lebih merehatkan atau terapi seperti yoga, pilates dan tai chi.

5. Pernafasan

Ada pasti terdengar kata-kata, “Tarik nafas dalam-dalam dan bawa bertenang” atau “tarik nafas dan hembus perlahan-lahan, bawa bertenang”. Ini menandakan sistem pernafasan yang efisien penting dalam membawa seseorang ke dalam mod bertenang. Jika anda sedang marah atau tidak berasa selesa dengan sesuatu perkara, belajar bernafas dengan baik untuk membawa ketenangan.