Beg tangan dan perempuan tidak boleh dipisahkan

Semacam menjadi kewajipan perempuan di dunia ini selalu membawa beg tangan mereka untuk ke mana-mana. Agaknya jika tidak membawa beg tangan tidak lengkap hidup mereka.

Tidak dinafikan, terdapat perempuan yang tidak membawa beg tangan. Namun, jumlah perempuan sebegini kecil sahaja. Kebanyakan perempuan memang suka membawa beg tangan walau ke mana sahaja mereka pergi.

Oleh kerana beg tangan itu memang tidak dapat dipisahkan daripada diri seorang perempuan, maka satu siasatan perlu dijalankan untuk mengetahui mengapa perempuan-perempuan di luar sana sangat suka membawa beg tangan ke mana-mana mereka pergi.

Oleh yang demikian, pada hari ini, saya ingin kongsikan kepada anda sebab-sebab perempuan selalu membawa beg tangan walau ke mana sahaja mereka pergi. Sebab-sebabnya ialah :

Untuk meletakkan barang-barang peribadi

Kebanyakan perempuan suka meletakkan barang-barang yang dianggap penting oleh mereka seperti ubat, dompet, barang-barang kosmetik, dan barang-barang berharga yang lain. Sememangnya mereka akan berfikir ke hadapan dan simpan segala macam barangan tidak mungkin difikirkan oleh kita. Jangan terkejut jika anda terjumpa flos gigi, kapas korek telinga, pen marker dan sebagainya.

Untuk bergaya

Beg tangan bagi perempuan juga adalah untuk mereka bergaya atau berfesyen. Sebab itu perempuan sangat suka beg tangan yang mahal dan cantik. Semuanya bertujuan menunjukkan kepada orang lain bahawa dia seorang yang pandai bergaya dan berfesyen.

Budaya ikutan

Oleh kerana mereka sedari kecil lagi sudah melihat ibu, ibu saudara, kakak dan jiran perempuan mereka membawa beg tangan, maka perkara itu semacam menjadi budaya yang mesti diikuti oleh mereka apabila mereka dewasa. Oleh kerana budaya ini, kita berasa aneh apabila melihat perempuan yang tidak membawa beg tangan ketika hendak ke mana-mana.

Lambang status sosial

Beg tangan melambangkan status sosial seseorang. Jika beg tangan yang dimiliki oleh seseorang itu berjenama mewah dan mahal harganya, pasti orang beranggapan bahawa perempuan tersebut daripada golongan orang kaya atau berada. Kalau anda membawa beg tangan jenama Hermes misalnya, lain kelaslah!

Sudah menjadi tabiat

Kebanyakan perempuan berasa tidak selesa jika mereka tidak membawa beg tangan bersama mereka. Rasa tidak lengkap hidup mereka tanpa beg tangan tersebut. Hal ini kerana, membawa beg tangan itu sudah menjadi tabiat dalam hidup mereka sejak sekian lama.

Itu antara sebab-sebab kaum perempuan selalu membawa beg tangan walau ke mana sahaja mereka pergi. Adakah anda bersetuju dengan pendapat saya? Jika bersetuju atau tidak bersetuju, silalah beri pendapat anda di ruangan komen.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com