Warga emas produktif, tanda penuaan positif

Gambar Bernama

Lebih ramai rakyat Malaysia yang masih aktif bekerja walaupun sudah berusia lebih 60 tahun, demikian dapatan kaji selidik Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya.

Adanya ramai warga tua yang bekerja merupakan tanda penuaan positif yang menunjukkan fizikal dan kesihatan minda mereka masih sihat walaupun populasi orang tua semakin bertambah berbanding jumlah penduduk negara berikutan penurunan kadar fertiliti dan peningkatan kadar jangka hayat.

“Inilah yang dikatakan penuaan positif iaitu mereka menunjukkan kemampuan bekerja dan masih aktif seperti melibatkan diri dengan NGO (badan bukan kerajaan), menjadi usahawan, terlibat bidang penerbitan dan lain-lain pekerjaan,” kata Pengarah SWRC Prof Datuk Norma Mansor.

Menurut Jabatan Perangkaan, hampir 10% populasi rakyat Malaysia hari ini berusia 60 tahun dan ke atas, dengan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 15% menjelang 2030.

Kaji selidik dalam talian mengenai ‘Memahami Penuaan’ yang dijalankan oleh SWRC terhadap 518 orang dari Mei 2015 hingga Mei 2016 mendapati sebanyak 50% daripada mereka berumur 60 tahun dan masih bekerja.

Kaji selidik SWRC mengenai ‘Penilaian Kecukupan Simpanan: Kes Anggota Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) terhadap 2,635 orang pada Jun 2016 mendapati hampir separuh daripada responden itu berusia 60 tahun dan ke atas dan masih bekerja.

“Kami mendapati, walaupun mempunyai beberapa bentuk simpanan atau pelaburan, mereka memilih untuk terus bekerja,” katanya kepada Bernama sambil memberitahu dapatan kaji selidik itu menunjukkan warga emas masih mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Wujudkan dasar baharu

Sementara itu, Prof Robert L. Clark dari Jabatan Ekonomi, Pengurusan, Inovasi dan Keusahawanan North Carolina State University berpendapat trend lelaki dan wanita bekerja dengan lebih lama memberi kesan yang baik terhadap pekerja dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Kajian menunjukkan usia tua tidak mempengaruhi prestasi dan keupayaan kerja (seseorang pekerja). Perbezaan individu dalam prestasi mungkin meningkat seiring dengan usia, namun, individu yang berkemahiran tinggi tidak mempunyai susut nilai selagi mereka terus bekerja,” katanya kepada Bernama.

Dengan peningkatan bilangan pekerja tua, katanya, perhatian harus diberikan kepada cara bagaimana mengekalkan kemahiran dan keupayaan produktif pekerja yang berumur.

Beliau berpendapat jika bekerja lebih lama dianggap bermanfaat bagi individu, masyarakat dan ekonomi, oleh itu, kerajaan perlulah memperkenalkan dasar baharu yang boleh meningkatkan insentif bagi warga tua Malaysia untuk kekal dalam tenaga buruh serta membolehkan syarikat-syarikat mengambil pekerja lebih tua.

Dividen kependudukan

Seorang lagi profesor pelawat di SWRC, Profesor Naohiro Ogawa dari University of Tokyo dan pemegang Kerusi Perlindungan Kewangan Usia Tua, berkata di Jepun, kerajaan baru-baru ini memperkenalkan dasar warga emas bagi menaikkan umur pilihan menerima pencen awam hingga 71 tahun atau lebih tua.

“Jepun mahu menjadi masyarakat tidak menua di mana orang berumur 65 tahun ke atas tidak dianggap sebagai tua tetapi digalakkan untuk kekal sihat dan bekerja,” katanya.

Bagi Ogawa, tidak semua isu penuaan adalah suram kerana ada faktor yang boleh membawa kepada masa depan yang lebih cerah termasuk faktor ‘dividen kependudukan’.

Ogawa berpendapat sebelum Malaysia melaksanakan sesuatu polisi berkaitan, kerajaan perlulah memahami 3 fasa dividen kependudukan yang dialami oleh penduduk negara ini:

1. Apabila kadar kelahiran negara menurun, akan ada lebih ramai orang yang bekerja berbanding dengan usia tidak bekerja. Secara ekonomi, Malaysia mengalami keadaan pengeluaran melebihi penggunaan, oleh itu, penduduk dapat menjimatkan wang dan menambah tabungan.

2. Apabila individu di semua kumpulan umur meningkatkan simpanan atau pelaburan dalam bentuk tertentu seperti pencen awam, program kebajikan, sumbangan anak-anak dan ahli keluarga, atau melalui pencairan simpanan selama bekerja seperti KWSP. Ia bagi menyokong usia tua, terutamanya apabila jangka hayat berpanjangan.

3. Ia membabitkan penambahbaikan berterusan dalam kesihatan warga tua, terutamanya yang mencapai umur persaraan.

Ogawa berkata masih banyak lagi kapasiti kerja yang belum diterokai oleh golongan itu dan berdasarkan data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, ia bakal memberikan kesan yang besar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

Penuaan bukan ‘menakutkan’

Norma pula berkata penuaan bukanlah suatu perkara yang ‘menakutkan’ jika golongan warga emas menjalani usia tersebut dengan bersikap positif.

Dalam satu artikelnya pada Oktober 2016 yang disiarkan sebuah akhbar harian, beliau berkata: “Penuaan positif adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan proses mengekalkan sikap positif, seronok dengan diri sendiri, sentiasa cerdas dan sihat, serta menjalani kehidupan sepenuhnya sebagai warga emas.

“Penyelidikan menunjukkan mereka yang hidup lebih lama adalah lebih sihat dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Bagaimana seseorang itu menguruskan, memikirkan dan mengatasi cabaran penuaan akan mempengaruhi cara mereka menghadapinya,” katanya.

Menurutnya dengan peningkatan jangka hayat berikutan kemudahan penjagaan kesihatan dan kemajuan dalam teknologi perubatan, rakyat Malaysia tidak boleh mengelak daripada membuat persiapan yang diperlukan bagi menghadapi hari tua mereka.

Kaji selidik SWRC mendapati rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun hari ini dijangka hidup sekitar usia 80 tahun, yang merupakan tambahan 20 tahun selepas umur persaraan wajib.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu bersedia dengan apa yang bakal berlaku pada 2030 termasuklah persediaan kewangan untuk menempuh hari tua.

Dari segi kewangan, ramai yang tidak yakin dapat hidup selesa sepanjang tahun tahun persaraan mereka.

“Kaji selidik kami pada 2016 (mengenai kecukupan simpanan dalam kalangan 2,635 anggota KWSP) menunjukkan hanya separuh daripada mereka yakin mempunyai kehidupan yang selesa berikutan adanya simpanan yang mencukupi,” katanya.

Berdasarkan keadaan ekonomi hari ini serta peningkatan kos sara hidup dan kos penjagaan kesihatan, ramai yang berkemungkinan akan menghabiskan apa sahaja sumber kewangan mereka dalam masa yang singkat, katanya.

“Sebab itulah saya sentiasa menggalakkan warga emas yang sihat dan aktif supaya terus bekerja,” katanya sambil menyarankan masyarakat supaya menabung lebih awal dan mempunyai instrumen perlindungan kesihatan yang diperlukan.