Arca jerami kenang tradisi penanaman padi

Sekumpulan penduduk dari Kampung Terus berjaya menghasilkan 10 arca yang diperbuat daripada jerami untuk tontonan umum khususnya generasi muda.

Abdul Nasir Salleh, 58, yang mengetuai pembuatan arca itu berkata arca-arca peralatan tradisional dalam penanaman padi itu semakin dilupakan dan kemungkinan besar tidak pernah diketahui masyarakat.

“Kami semua memang mahu perkenalkan peralatan pertanian tradisional dan sejarah pertanian kepada orang ramai khususnya generasi muda.

“Semua ini semakin dilupakan dan mungkin juga ramai yang tidak tahu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis perasmian Festival Padi Antarabangsa Pulau Pinang di Kampung Terus, Penanti di Pulau Pinang.

Abdul Nasir berkata pembuatan 10 arca itu dihasilkan dengan kerjasama 5 ahli kumpulannya iaitu Mutalip Jamil, 49, Zoolhelmi Roslan, 42, Baharuddin Abdullah, 45, Maudi Azizan, 45, dan Rafidi Ahmed, 50 selepas menerima permintaan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin.

“Yang Berhormat Norlela ada datang kepada kami, menyatakan beliau mahukan sesuatu yang diperbuat daripada jerami untuk dipamerkan kepada umum…selepas beberapa hari, kami dapat ilham untuk menghasilkan arca diperbuat daripada jerami untuk tontonan umum,” katanya.

Beliau berkata pembuatan 10 arca yang mengambil masa 25 hari itu merupakan kebanggaan beliau dan rakannya apabila ramai datang bergambar pada hari pertama dan bilangan pengunjung bertambah pada hari kedua.

Katanya arca-arca dihasilkan dengan menggunakan kayu dan paip PVC sebagai asas arca, dan jerami berkenaan disulam secara rapi dengan menggunakan tali tangsi.