Tip menulis yang berguna

Kewujudan media sosial seperti Facebook dan laman blog membolehkan sesiapa sahaja menulis sesuatu.

Ramai orang pada masa kini suka menulis memandangkan mereka suka mengekspresikan apa yang terbuku dalam hati dan minda mereka.

Tambahan pula, ada pendapat mengatakan, menulis bukan sahaja boleh membuatkan seseorang itu menjadi terkemuka malah menjadi kaya. Atas sebab itulah mengapa ramai orang pada hari ini amat suka menulis.

Bagaimanapun, bukan semua orang mempunyai kemahiran menulis yang sepatutnya. Mereka tidak tahu apa yang mahu ditulis di Facebook atau di blog mereka meskipun mereka amat berminat untuk berbuat demikian.

Oleh itu, pada hari ini, saya ingin kongsikan beberapa tips untuk anda di luar sana yang amat suka menulis tetapi kurang mahir atas beberapa sebab yang umum.

Tips-tips tersebut adalah :

Minat

Jika hendak menulis anda perlu mempunyai minat. Jika anda tidak mempunyai minat, pasti anda sukar untuk menghasilkan sesuatu penulisan. Anda mesti menulis topik yang anda minati, kuasai atau dekat dengan diri. Tulislah artikel yang anda benar-benar tahu atau pakar supaya kesilapan fakta tidak berlaku.

Banyak membaca

Untuk menjadi seorang penulis anda perlu banyak membaca. Tidak kira apa bahan bacaan anda tetapi anda mesti banyak membaca. Jika anda hendak mahir menulis novel, anda perlu banyak membaca novel. Jika anda hendak mahir menulis puisi,
anda mesti banyak membaca teks puisi. Jika anda hendak mahir menulis artikel, maka anda mesti banyak membaca artikel sama ada di surat khabar atau di internet.

Rajin buat carian

Jika anda hendak mahir menulis, anda perlu banyak membuat carian sesuatu topik yang anda hendak tulis. Misalnya, anda hendak menulis mengenai filem, maka anda perlulah membuat carian topik tersebut sama ada di perpustakaan atau di internet.

Selalu menulis

Jika anda hendak mahir menulis, anda perlu selalu menulis. Mulakan dengan menulis artikel-artikel yang pendek terlebih dahulu. Apabila anda sudah mahir, barulah anda mula menulis artikel-artikel yang panjang. Tulis dahulu perkara-perkara yang mudah dan hampir dengan diri anda seperti makanan, pakaian,rumah, dan sebagainya.

Menulis dengan sepenuh hati

Untuk menulis artikel yang benar-benar ‘bernyawa’ dan seronok dibaca, eloklah artikel itu ditulis dengan sepenuh hati. Carilah suasana yang membuatkan anda selesa untuk menulis. Jangan menulis dengan tergesa-gesa atau mahu segera siap. Sebab itulah penting anda mempunyai minat menulis dan tulis perkara yang hampir dengan diri anda.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com