Wanita Kota Belud komited bantu ekonomi rumah

Sekumpulan wanita asyik menganyam rotan. Ada yang bersila, ada juga yang melunjur kaki namun, tekun menyiapkan tempahan pelanggan.

Antaranya yang dihasilkan adalah bakul, bola takraw, pemukul lalat, alat penggaru badan dan tikar. Mereka menggunakan rotan saga kerana ia tahan lama dan tidak mudah berubah warna berbanding rotan jenis lain.

Biarpun terpaksa mengendong anak, ada yang perlu melayani kerenah si kecil yang sentiasa mahu ‘bergayut’ pada baju si ibu, ia tidak menghalang wanita berkenaan kerana bagi mereka ia umpama ‘alah bisa, tegal biasa’.

Begitulah situasi di rumah kampung 2 tingkat milik usahawan kraf anyaman rotan saga, Empin Galing, 58, di Kampung Gansurai di sini ketika wartawan mengunjunginya sempena Projek Kraf KampungKu (KKK) Kota Belud yang dimulakan awal tahun ini.

Program media 3 hari bermula 27 Julai itu dianjurkan Kraftangan Malaysia bagi melakukan pratinjau pelaksanaan projek KKK berkenaan, yang akan dirasmikan pada September nanti.

Dengan penglibatan 379 usahawan kraf dari 20 kampung, ia antara inisiatif Kraftangan Malaysia dalam membangunkan komuniti setempat di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) – produk kraf.

Siapa sangka, perjalanan yang memakan masa kira-kira satu jam dari pekan Kota Belud untuk sampai ke rumah lelaki yang turut menyandang jawatan Ketua Kampung Gansurai rupa-rupanya memberi kisah menarik untuk dikongsi.

Meskipun ketika perjalanan hati merasa gundah dengan keadaan jalan tidak berturap, sempit, turun naik bukit serta melalui beberapa jambatan lama, ia kemudian berubah rasa apabila kunjungan kami disambut mesra oleh penduduk kampung.

Jana pendapatan

Selain ‘kaya’ budi bahasa, mereka juga ada ‘cara tersendiri’ untuk tidak rasa terasing dari ‘dunia luar’ malahan mungkin lebih bermanfaat kerana mampu memberi pendapatan melalui kebolehan dan kemahiran yang dimiliki.

“Beginilah kami jika ada banyak tempahan. Masing-masing akan berkumpul di sini (di rumah Empin) dan bawa pulang (rotan) ke rumah untuk disiapkan.

“Saya sudah 10 tahun membuat kraf anyaman rotan. Bila ada kerja begini, secara tak langsung saya boleh cari pendapatan sampingan. Orang di sini memang pandai anyam rotan, inilah mengenai suku kaum Kadazandusun di sini,” kata Christina Anggot, 37, kepada Bernama.

Sama seperti wanita lain, ibu kepada 3 cahaya mata itu tinggal berdekatan rumah Empin yang memudahkannya untuk terlibat dengan aktiviti itu.

Mahir membuat pelbagai bentuk anyaman rotan secara manual, Christina mengakui seni itu secara tidak langsung turut memenuhi masa lapangnya.

“Setidak-tidaknya saya ada kerja walaupun hanya duduk di rumah. Dapatlah bantu keluarga,” katanya sambil berterima kasih kepada Empin yang membuka peluang itu kepada beliau dan rakan-rakannya.

Platform penggerak

Bagi Empin, menetap di kawasan pedalaman tidak seharusnya mematahkan semangat mereka untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

“Asalkan ada kemahuan, mesti boleh jadi. Sebab itu saya mengajak suri rumah dan ibu-ibu ini menjalankan aktiviti bersama. Sekurang-kurangnya, mereka ada kerja.

“Majoriti mereka memang ada kebolehan dan kemahiran menganyam cuma mereka perlukan platform sebagai penggerak. Jadi, saya ambil inisiatif untuk mengupah mereka apabila saya mendapat banyak tempahan,” katanya sambil memberitahu ibu dan bapa mertua serta adik iparnya turut membantu.

Menceritakan penglibatannya dalam kraf anyaman rotan, Empin yang juga bapa kepada 5 cahaya mata berkata beliau bermula secara serius dalam bidang itu selepas berhenti kerja pada 2012.

Pada mulanya beliau meragui keputusannya itu, namun dengan tekad dan semangat tinggi beliau kini boleh berbangga.

“Pada usia 18 tahun, saya menanam rotan saga kerana ia memang popular di sini. Oleh itu, soal mendapatkan sumber tidak menjadi masalah bila saya mulakan anyaman rotan… dusun saya juga hanya terletak kira-kira 500 meter dari sini.

“Saya tidak pernah menyangka akan kembali ke bidang (rotan) ini malah ia kini menjadi mata pencarian utama kami,” katanya.

Pada awalnya, beliau hanya mahir membuat bola takraw namun latihan demi latihan membolehkannya menghasilkan pelbagai kraf rotan termasuk bakul dan tikar.

Mengutamakan trend terkini dan kehendak pelanggan, Empin sentiasa menggalakkan para pembantunya supaya menghasilkan sesuatu yang baharu seperti bola takraw dalam pelbagai saiz termasuk saiz paling kecil untuk dijadikan anting-anting.

Bimbingan kraftangan Malaysia

Kraftangan Malaysia memainkan peranan penting dalam ‘membentuk’ usahawan kraf seperti Empin dengan aktiviti promosi serta khidmat nasihat agensi itu yang sering ‘turun padang’ dan mengetengahkan produk hasil kraf.

Selain menerima tempahan dari serata Malaysia, Empin juga aktif mengadakan pameran di Sabah dan Semenanjung termasuk semasa Hari Kraf Kebangsaan serta Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) anjuran Kraftangan Malaysia.

“Kraftangan Malaysia giat membantu memperkenalkan kraftangan Sabah yang secara tidak langsung turut menonjolkan suku-suku kaum yang ada di sini bukan sahaja di Semenanjung bahkan di peringkat antarabangsa.

“Ini semua menjadi pembakar semangat kami untuk berusaha lebih keras. Selain penubuhan Pusat Inkubator Kraf Kota Belud tahun lepas, ia membantu mengetengahkan produk kami malah menjadi pusat sehenti untuk mereka yang berminat dengan seni kraf kami,” katanya.

Empin berharap dapat menyediakan bengkel khas bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pembantunya menjalankan kerja-kerja menganyam rotan selain penggunaan mesin bagi mempercepat dan meningkatkan hasil pengeluaran kraf rotan yang semakin mendapat perhatian.

Pada masa sama, beliau bimbang dengan keengganan anak muda menceburi bidang itu kerana menganggap ia tidak menjamin masa depan.

“Anak-anak saya sendiri tidak minat begitu juga anak-anak muda di kampung ini. Tak kurang juga yang menganggap ia kerjaya untuk wanita sahaja. Itulah yang menjadi kerisauan kerana seni ini diwarisi daripada nenek moyang, sudah menjadi warisan turun temurun…siapa lagi akan meneruskannya?

Projek Kraf Kampungku

Projek KKK Kota Belud merupakan lokasi kedua peringkat Sabah selepas Kampung Batu Lunguyan, Keningau.

Melalui projek ini, produk kraf akan diberikan penjenamaan semula bagi meningkatkan pengeluaran selain galakan kepada usahawan kraf untuk terus menghasilkan bahan yang berkualiti.

Selain kraf anyaman rotan saga, produk pengenalan lain turut diberi fokus dalam projek ini termasuklah anyaman serdang, parang bajau, tenunan dastar dan kulit kayu.

Selain memanfaatkan penduduk setempat, projek ini turut membantu mengembangkan industri lain seperti inap desa, pelancongan, perkhidmatan serta industri hiliran.