Seru cabaran ’10 buku pilihan’ Kementerian Pendidikan

Memandangkan begitu ramai pengguna media sosial yang tampil berkongsi mengenai 10 buku kegemaran mereka sebagai menyahut seruan Menteri Pelajaran, saya juga ingin berbuat demikian. Di bawah disenarai 10 buku kegemaran saya dan sebabnya:

1. Kacau karya Ariff Adlyy

Ini novel terbitan Fixi yang pertama saya baca sekitar tahun 2014. Membaca novel ini sedikit sebanyak mengubah pandangan terhadap novel-novel terbitan Fixi. Sejak membaca novel ini, saya mula ketagih untuk membaca novel-novel terbitan syarikat indie tersebut. Jika saya hendak membaca novel, maka novel-novel terbitan Fixi yang akan saya cari dahulu. Jika hendak membaca novel seram yang memuaskan, novel ini wajar dibaca.

2. Musa Hitam Lawan S. H. Al-Attas Biografi karya Halim Mahmood

Buku ini kerap dibaca kerana saya amat meminati S. H. Al-Attas atau Pak Habib yang merupakan penulis buku politik paling berpengaruh di Malaysia. Melalui buku ini, saya mula mengenali sedikit sebanyak mengenai diri penulis yang berani mati ini. Walaupun buku ini bukan biografi lengkap S. H. Al-Attas tetapi kita boleh mengenali diri beliau sebagai penulis yang pernah menjatuhkan pemimpin sehebat Tun Musa Hitam dengan hanya menggunakan sebatang pena.

3. Trilogi Jangan Baca Novel Ni karya Ismi Fa Ismail

Jika mahu membaca novel yang benar-benar ‘aneh’, maka bacalah ketiga-tiga novel Ismi Fa Ismail ini. Novel-novel tulisan Ismi ini ialah novel paling ‘aneh’ di Malaysia yang pernah saya baca. Mengapa saya beranggapan begitu? Anda perlu membaca untuk merasai dakwaan saya terhadap novel ini. Begitu juga jika anda mahu tahu ‘misteri’ yang terselindung dalam novel ini secara mendalam dan tidak pernah anda jangkakan. Bukan sahaja novel ini ‘aneh’ dan ‘misteri’, penulisnya pun saya rasa seorang yang ‘aneh’ dan ‘misteri’!

4. Perempuan Tanpa Dosa karya Fatinilam Sari Ahmad

Novel ini sebenarnya novel bapa saya. Dia beri saya novel ini ketika saya masih di sekolah menengah. Saya membaca novel ini berulang-ulang kali kerana saya terpesona dengan watak Usu Sakinah. Watak Usu Sakinah yang merupakan seorang perawan kampung tetapi sangat berdikari begitu mempersona. Watak Usu Sakinah bukanlah watak wanita tipikal yang biasa ditemui dalam novel-novel Melayu.

5. Pandangan Dari Tudor City, New York karya Tan Sri Abdullah Ahmad

Antara kolumnis yang saya paling minat ialah Tan Sri Abdullah Ahmad. Buku ini merupakan himpunan tulisan-tulisan beliau dalam akhbar Utusan Malaysia semasa beliau menjadi Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tulisan beliau bukan sahaja sedap dibaca tetapi juga mengandungi banyak fakta menarik. Bagi saya, beliau adalah antara kolumnis terbaik yang pernah hidup di muka bumi.

6. Sumpah Dan Air Mata Reformis Bangsa karya Mohd Sayuti Omar

Buku ini sebenarnya menyorot sejarah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO dan kerajaan pada tahun 1998. Jika anda mahu tahu apa yang terjadi pada petang 2 September 1998 setelah Anwar dipecat di rumah Anwar sendiri, maka anda wajar membaca buku ini. Jarang penulis boleh mendokumentasikan pengalaman dirinya berhadapan dengan peristiwa yang cukup bersejarah itu sehingga mengubah landskap politik negara sehingga ke hari ini.

7. Berani Tanpa Segan karya Tan Sri Abdullah Ahmad

Buku ini sebenarnya menghimpunkan tulisan-tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian iaitu ‘DKL Menulis’. Beliau yang menulis berdasarkan pengalaman beliau sebagai wartawan, timbalan menteri, Setiausaha Politik Tun Abdul Razak, tahanan ISA, tokoh korporat dan diplomat merupakan perencah terbaik yang ‘menyedapkan’ tulisan-tulisan beliau setiap kali dibaca. Seperti yang telah saya nyatakan di atas tadi, beliau ialah antara kolumnis terbaik yang pernah hidup di muka bumi.

8. Propagandis Zaman karya Subky Abdul Latif

Sesiapa yang berminat menjadi penulis dan wartawan memang wajar membaca buku ini. Buku ini ialah memoir Subky Latif sebagai wartawan di Utusan Melayu dan Utusan Malaysia sebelum terjun ke dalam politik PAS. Tiada siapa dapat menafikan Subky ialah penulis rencana dan kolum terbaik yang pernah wujud di negara ini. Buku ini juga menyorot sejarah beliau memimpin akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka dan Watan sebelum bersama-sama mengasaskan akhbar Harakah. Jika saya tidak salah, Subky ialah penulis buku politik semasa pertama di negara ini.

9. Adibah Amin : Tak Kenal Maka Tak Cina karya Zaleha Ahmat

Saya mula jatuh minat pada Adibah Amin semasa beliau berlakon sebagai Cikgu Bedah dalam filem Adik Manja. Berbelas tahun kemudian barulah saya tahu Adibah Amin ini bukan sahaja anak pejuang kemerdekaan iaitu Ibu Zain malahan seorang guru, wartawan, ahli bahasa, penterjemah, kolumnis dan penulis. Saya membeli buku ini kerana terinspirasi dengan Adibah Amin sebagai antara penulis wanita terpenting di negara ini.

10. Dari Salina Ke Langit Petang karya A. Samad Said

Siapa yang hendak menjadi seorang penulis novel atau cerpen wajar membaca buku ini. Buku ini menceritakan pertumbuhan dan perkembangan A. Samad Said sebagai penulis sekaligus proses-proses menulis tiga buah novel terawal beliau iaitu Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang. Saya amat terpesona dengan kisah hidup beliau semasa di Singapura dan semasa beliau menyudahkan ketiga-tiga buah novel beliau itu. Siapa pernah menulis novel menggunakan tangan? A. Samad Said pernah melakukannya!

Itulah 10 buah buku yang saya gemari dan saya baca beberapa kali. Sekarang saya sedang menekuni dua buah buku iaitu Anak Apak karya Subky Abdul Latif dan Mencari Jalan Pulang : Dari Sosialisme Kepada Islam karya Kassim Ahmad. Membacalah kerana membaca bukan sahaja jambatan ilmu malah anda akan mendapat banyak pengalaman baru. Bukan itu sahaja, membaca juga sebenarnya membawa kita menjelajah dunia.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com