Gadis sindrom down dinobat ratu cantik remaja dunia

Jangan jadikan kelemahan atau kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berjaya atau sebab untuk menggagalkan seseorang.

Seorang gadis dengan masalah sindrom down berjaya membuktikan dirinya lebih bernilai daripada yang dilabel masyarakat apabila menjadi ratu cantik remaja dunia membelakangkan 40 peserta lain dari sepelusok dunia.

Kate Grant yang baru berusia 19 tahun dari Cookstown, County Tyrone di utara Ireland memenangi pertandingan ratu cantik remaja dunia yang diadakan di Portadown, Ireland.

Pertandingan ratu cantik itu dibahagikan kepada 3 kategori iaitu kanak-kanak, remaja dan wanita berusia 20 tahun ke atas.

Menariknya ia juga membuka penyertaan kepada sesiapa sahaja tanpa mengambil kira berat, ketinggian atau status perkahwinan sebagai inisiatif menyokong badan amal untuk membantu merealisasikan impian kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal, Yayasan Make-A-Wish.

Kate berkata, dia mahu menyerlahkan kecantikan yang menyeluruh iaitu kebaikan, belas kasihan dan kecerdasan sebagai kecantikan muktamad.

“Jika itu yang juri lihat dalam diri saya maka saya amat gembira,” jelas Kate.

Kate juga menyatakan, bagi seseorang sepertinya, kecantikan sebenar adalah mengenai siapa diri mereka dan bukan mengenai bagaimana mereka kelihatan di mata orang.

Bagaimanapun perjalanan Kate bukanlah semudah yang disangka walaupun dia sebenarnya terlibat dalam dunia peragaan sejak berusia 13 tahun.

Dalam temuramah kepada The Mirror, ibu Kate, Deirdre akui permohonan anaknya menyertai agensi peragaan pernah ditolak beberapa kali hanya kerana kondisi kesihatanya, sindrom down.

Pada majlis prom di sekolah Kate baru-baru ini, Deirdre memuat naik gambar anak perempuannya di laman sosial untuk menanyakan pendapat pengikut sama ada Kate boleh menjadi seorang model.

Deirdre sedikit pun tidak menyangka foto itu bukan sahaja menerima respon positif malah dikongsi sebanyak 26,000 kali.

Gambar yang sama juga perhatian pengarah pertandingan ratu cantik tersebut, Taylor-Rae Hamilton yang menjemput Kate untuk mengambil bahagian.

“Kate gembira dengan pemilihan itu untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Dia berharap untuk membantu lebih ramai kanak-kanak sepertinya mencapai cita-cita mereka,” kata Deirdre.