Kanak-kanak 5 tahun selamat selepas 12 jam dalam runtuhan pasca tsunami

Kanak-kanak 5 tahun selamat selepas 12 jam dalam runtuhan pasca tsunami

Keberadaan Ali dalam runtuhan tersebut dikesan selepas pasukan operasi penyelamat mendengar tangisan kanak-kanak itu sebelum bertindak pantas mengalihkan kayu dan sisa runtuhan.

Biarpun terperangkap selama 12 jam namun ajal seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun masih panjang selepas ditemui selamat di bawah timbunan sisa runtuhan akibat tsunami di Indonesia.

Kanak-kanak bernama Ali masih panjang umur walaupun hampir 12 jam terperangkap di dalam sebuah kereta yang tertimbus di dalam timbunan sisa runtuhan di hotel Mutiara Resort ekoran tsunami di Pantai Carita, Banten.

Keberadaan Ali dalam runtuhan tersebut dikesan selepas pasukan operasi penyelamat mendengar tangisan kanak-kanak itu sebelum bertindak pantas mengalihkan kayu dan sisa runtuhan.

Rakaman video yang kini viral di laman sosial menunjukkan Ali diselamatkan dan cuba ditenangkan oleh pasukan penyelamat ketika membawanya keluar daripada runtuhan berkenaan.

Bagaimanapun tidak dapat dikenalpasti sama ada terdapat individu lain dalam kenderaan tersebut.

Sebaik sahaja ditarik keluar, kanak-kanak itu menangis dan dipeluk erat pegawai yang menyelamatkannya, petik Tribunnews.com.

Ali kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut walaupun hanya mengalami kecederaan ringan.

Bagaimanapun tiada laporan yang mengesahkan sama ada Ali dipertemukan semula dengan orang tuanya atau ditempatkan di pusat pemindahan.

Tsunami yang melanda Pulau Jawa itu mengorbankan lebih 280 orang manakala ratusan lagi cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.