Penjana-Cendana bantu suntik semula semangat Empin Galing

Penjenamaan semula kepada produk kraf adalah sebagai galakan kepada usahawan kraf untuk menghasilkan anyaman bermutu tinggi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Krisis pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi impak besar kepada seluruh rakyat dan ekonomi negara. Usahawan kraf tempatan yang tinggal di Sabah dan Sarawak ini juga tidak terkecuali. Mereka adalah golongan yang punca pendapatannya dari dalam hutan, bergantung dengan hasil rimba sebagai punca rezeki.

Emping Galing, Pengusaha Kraf Anyaman Rotan (Gambar Bernama)

Tempias ini turut dirasa oleh Empin Galing yang berasal dari Kampung Gansurai yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kota Belud, Sabah. Beliau adalah usahawan kraf hasil rimba berasaskan rotan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lepas telah menjejaskan sumber pendapatan beliau sepenuhnya.

Bukan sahaja aktiviti jualan dan tempahan terjejas, bahkan aktiviti promosi secara ‘turun padang’ juga tidak dapat dijalankan, sekaligus memerlukan beliau mengusahakan pelbagai inisiatif lain untuk kelangsungan hidup dan keluarga.

“Impak daripada krisis ini saya dan rakan-rakan sekampung yang turut mengusahakan kraf anyaman rotan tidak dapat memasarkan produk sekaligus mengakibatkan perusahaan jatuh merudum kerana pembeli dan yang membuat tempahan panik dan takut menanggung risiko kerugian disebabkan pandemik yang tidak dapat dijangka bila akan berakhir.

“Ia menjadi ‘tamparan’ hebat buat kami. Namun, mujurlah kami tinggal di kampung jadi bolehlah berusaha mencari sekadar apa yang boleh dimakan untuk keluarga setiap hari terutama ketika awal-awal PKP dilaksanakan,” katanya.

Empin, 60, dari suku kaum Dusun Tindal yang juga merupakan Ketua Kampung Gansurai, sudah hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang perusahaan kraf anyaman rotan saga.

Selain menerima tempahan dari serata Malaysia, Empin yang juga bapa kepada lima orang cahaya mata aktif mengadakan pameran di Sabah dan Semenanjung termasuk ketika Hari Kraf Kebangsaan (HKK) anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Kali terakhir beliau berkunjung ke Semenanjung mempromosikan produk kraf ialah pada Mac lepas sewaktu HKK di Kuala Lumpur sebelum semuanya seakan ‘terhenti’ selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

Pelan PENJANA bagi industri kreatif adalah sebuah inisiatif yang pelbagai untuk memulihkan industri kreatif termasuk seni dan budaya. (Gambar Bernama)

Namun, selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan disokong dengan inisiatif kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), beliau merasakan seakan diberi nafas baharu untuk meneruskan perniagaan krafnya.

Merujuk kepada pelan PENJANA bagi industri kreatif melalui Inisiatif Pemulihan CENDANA, Empin berkata ia diharap dapat menggerakkan kembali aktiviti serta perniagaan industri itu sebagai sumber pendapatan bagi penggiatnya.

“Saya dan rakan-rakan sudah mengisi permohonan Inisiatif Pemulihan CENDANA di bawah kategori Pilihan Industri Seni Kraf CENDANA. Bantuan yang diperoleh akan dimanfaatkan untuk membeli bahan mentah seperti rotan pulur pelbagai saiz dan bahan keperluan lain yang berkaitan dengan perniagaan.

“Tidak dinafikan, ia sekurang-kurangnya menjadi ‘pengubat’ kepada kerugian yang kami tanggung semasa berdepan krisis pandemik ini. Semoga inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan yang terlibat dan memberi suntikan semangat kepada mereka untuk kembali meneruskan perniagaan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Sumber: Bernama