Siti Noraizah ingin bawa Chocs Valley ke pasaran antarabangsa

Siti Noraizah Kassim ingin menyasar pendapatan RM1 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Semuanya bermula dengan minat selain usaha dan yakin dapat melangkah lebih maju setanding usahawan berjaya lain.

Siti Noraizah Kassim, 50 tahun, pemilik Chocs Valley telah mengusahakan pembuatan coklat sejak tujuh tahun lepas. Hari ini beliau telah berjaya merealisasikan pendapatan mencecah kira-kira RM25,000 sebulan.

“Saya memang meminati industri pembuatan coklat dan selalu mengkaji dan mempelajari mengenai coklat Eropah. Pada 2010, saya nekad berhenti kerja dan belajar mengenai pembuatan coklat. 2013 saya membuka kiosk di pasar raya dan berniaga menjual coklat secara kecil-kecilan.

“Dua tahun kemudian saya mula mengeluarkan jenama sendiri iaitu Chocs Valley dan menyewa sebuah kedai terletak di perkarangan kompleks Muzium Negeri Sembilan. Sehingga kini saya telah berjaya mencipta 60 jenis coklat pelbagai perisa dan tekstur,” katanya yang mempunyai empat orang pekerja.

Siti Noraizah yang merupakan bekas penolong pengurus jualan dan pemasaran di sebuah firma swasta itu memulakan perniagaan dengan modal hampir RM200,000 dan kini mampu meraih pendapatan mencecah RM300,000 setahun dengan mempelbagaikan strategi jualan.

Siti Noraizah Kassim menunjukan cara-cara pembuatan biskut coklat kepada pelatih industri di kedainya. (Gamber Bernama)

“Selain belajar menerusi kelas pembuatan coklat dengan Lembaga Koko Malaysia, saya juga banyak lakukan kajian tentang coklat dari negara Eropah, disebabkan itu kebanyakan coklat dihasilkan mempunyai pengaruh negara Eropah seperti Belgium dan Perancis,” katanya ibu kepada dua orang cahayamata ini.

Beliau berkata setiap kali pembuatan, sebanyak 500 kilogram coklat digunakan. Chocs Valley juga mengeluarkan produk coklat buatan tangan premium iaitu artisan coklat. Ia terdiri daripada beraneka jenis iaitu pralin dan trufel yang dijual pada harga RM35 sekotak manakala coklat bar dijual pada harga RM6.50 bagi 84 gram.

“Jadi penggemar coklat hari ini boleh menikmati coklat tempatan yang berkhasiat dan berkualiti tinggi pada harga berpatutan. Lebih menarik lagi, ia mempunyai kualiti dan rasa setanding coklat import seperti dari Switzerland dan Belgium,” ujarnya.

Susulan mendapat sambutan baik dari seluruh negara, kini Chocs Valley sedang meninjau peluang pasaran baharu di negara Timur Tengah serta negara jiran seperti Brunei dan Vietnam.

Siti Noraizah berkata kejayaan yang dikecapi ini telah menguatkan azam dan perancangannya untuk memperhebat lagi jualan produk selain menyasar untuk meraih pendapatan sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pelanggan boleh memperoleh produk Chocs Valley menerusi ejen yang dilantik di Bangsar, Kuala Lumpur serta di Shah Alam dan Klang, Selangor atau menerusi pembelian secara dalam talian di platform Lazada dan ourshop.com.

Pihaknya juga menyediakan perkhidmatan membuat coklat mengikut kehendak pelanggan dan setakat ini tempahan diterima dari hotel, syarikat korporat, agensi kerajaan selain untuk majlis perkahwinan, acara korporat dan sambutan hari ulang tahun kelahiran.

Sumber: BERNAMA

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]