Mahu abadikan sejarah, penerima vaksin tampil berbusana batik di PPV

Mahu abadikan sejarah, penerima vaksin tampil berbusana batik di PPV

Hanan Hashem memilih tema itu bagi meraikan hari bersejarah menerima dos pertama setelah menunggu hampir empat bulan.

Hanan berkata paling istimewa, baju dan kain batik sarung itu adalah kepunyaan arwah neneknya, Mek Nor Ab Rahman yang meninggal dunia pada 2013. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Persis gadis Melayu zaman dahulu.

Rasa teruja dan gembira mendorong seorang penerima vaksin Covid-19 tampil berbusana batik ketika mendapatkan suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini.

Hanan Hashem, 30, berkata dia memilih tema itu bagi meraikan hari bersejarahnya menerima suntikan dos pertama setelah menunggu hampir empat bulan selepas mendaftar di MySejahtera pada 1 Mac lalu.

“Ini merupakan kali pertama saya mengenakan pakaian sebegini di khalayak ramai. Pada mulanya rasa kurang yakin tetapi saya teruskan sahaja hasrat itu kerana mahu mengabadikan tarikh ini sebagai tarikh bersejarah untuk diri saya,” katanya yang dihubungi Bernama.

Hanan berkata paling istimewa, baju dan kain batik sarung itu merupakan kepunyaan arwah neneknya, Mek Nor Ab Rahman yang meninggal dunia pada tahun 2013 dan beliau mahu merasai sendiri aura dan kebanggaan pakaian tradisional Melayu dengan memakai pakaian tersebut.

Menurut anak jati Kampung Gelong Gajah, Padang Kemunting, Kuala Nerus itu, beliau sedar ramai hairan dengan penampilannya di PPV tersebut namun tidak berlarutan lama kerana batik merupakan sebahagian warisan budaya rakyat Terengganu.

“Kebiasaannya orang ramai berpakaian tema batik sebegini ketika menghadiri majlis tertentu seperti makan malam, perkahwinan atau hari jadi, bukannya ketika hadir mendapatkan suntikan vaksin.

“Saya cuma ingin meraikan tarikh 11 Julai hari ini sebagai tarikh istimewa agar dapat ditatap anak cucu pada masa depan sekali gus mengetahui bahawa Malaysia pernah dilanda pandemik Covid-19 dan saya adalah seorang yang bertanggungjawab kerana telah mendapatkan vaksin,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.