
RUSIA: Dua kanak-kanak perempuan parah akibat terpelanting setinggi enam meter ke udara sebelum jatuh di atas landasan trem ketika bermain istana belon yang secara tiba-tiba meletup.
Kejadian di Barnaul itu berlaku ketika mangsa, Anna, 3 dan Vika, 4, bermain bersama kanak-kanak lain di atas pelampung terbabit sebelum dikejutkan dengan satu letupan.
Insiden itu menyebabkan Anna mengalami gegaran pada bahagian otak dan kecederaan tulang belakang manakala Vika pula retak tulang tengkorak serta cedera pada bahagian paru-paru dan abdomen.
Kejadian mencemaskan itu dapat dilihat menerusi satu rakaman video yang menunjukkan beberapa ibu bapa berusaha untuk mengalihkan istana belon terbabit.
Manakala tiga lagi remaja yang turut tercampak akibat kejadian itu dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut laporan Kommersant, salah seorang mangsa yang terlantar di hospital masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
“Dua kanak-kanak perempuan ini masih menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital,” kata jurucakap kementerian kesihatan.
Susulan kejadian, beberapa penyiasat kini sedang mencari punca insiden yang berlaku berhampiran sebuah pusat beli-belah itu dan mereka tidak menolak kemungkinan bahawa ia disebabkan oleh angin kuat.
Menurut beberapa saksi, mereka juga terdengar bunyi letupan yang kuat dan ada teori mengatakan belon itu mungkin terlebih pam hingga menyebabkannya meletup.
“Letupan itu terlalu kuat hingga saya yang bekerja jauh dari lokasi insiden boleh mendengarnya dengan jelas,” kata seorang saksi, Anastasia Dolmatova.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]