Datuk Muhammad Daud Kilau bersyukur terima bantuan dari JKM

Datuk Muhammad Daud Kilau yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek. (Gambar Bernama)

BAGAN DATUK: Bermula bulan ini, Datuk Muhammad Daud Kilau akan menerima Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Raja Gelek Malaysia itu melahirkan rasa bersyukur atas bantuan bulanan itu dan mengakui ia dapat meringankan beban kewangannya.

“Syukur, alhamdulillah. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya membayar bil air dan api. Lagi pula saya kadang-kadang perlu membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Teluk Intan dan Klinik Kesihatan Bagan Datuk. Memang perlukan banyak duit,” kata penyanyi veteran itu.

Beliau turut mengakui menerima bantuan dari ramai pihak termasuk Persatuan Artis Malaysia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Wan Norashikin Wan Noordin, kerajaan negeri melalui JKM berjaya mempercepatkan kelulusan bantuan bulanan tersebut yang akan diterima mulai 25 Oktober ini.

“Diharapkan bantuan bulanan ini dapat meringankan beban beliau (M Daud Kilau) untuk menampung kos kehidupan harian,” katanya ketika ditemui di kediaman M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baruh di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.

M Daud Kilau yang terkenal dengan lagu Sirih Pinang dan Cek Mek Molek juga sinonim dengan busana labuci warna-warni kini hanya menghabiskan masa di rumah berikutan tahap kesihatannya yang semakin merosot kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan keadaan jantung tidak stabil sejak 2016.

“Saya dah menyanyi hampir 50 tahun, kalau hayat masih dikandung badan untuk saya menyanyi, saya akan terus menyanyi. Kalau tak boleh, tak mengapa,” katanya yang tinggal bersama isteri Datin Rohani Awang Ngah, 62, dan seorang anak lelaki.

Sumber: BERNAMA

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]