
Selalunya bila disebut ‘boyband’ yang terlintas di fikiran adalah sekumpulan pemuda kacak dan bertubuh persis model.
Namun, kumpulan penyanyi dari Produce Pandas berusaha mengubah persepsi itu, dengan lima anggotanya bertubuh gempal dan lebih berusia jika dibandingkan dengan kebanyakan ‘boyband’ yang lain.
Berusia 22 hingga 31 tahun, kumpulan berasal dari China ini nyata lebih berimej comel dan penubuhannya memang bertujuan memperkenalkan kelainan terutama dari segi imej dan kematangan, menurut South China Morning Post.
Lima ahlinya, Otter, DING, Mr 17, Cass dan Husky, dipilih daripada 300 calon dan direkrut kerana berbeza daripada ‘boyband’ biasa, daripada Backstreet Boys hinggalah BTS.
Mereka bertekad mengubah hala tuju hidup mereka apabila berhenti kerja untuk menyertai kumpulan itu.
Malah, Mr 17 yang juga paling ‘sulung’ antara mereka mengaku hampir dibuang keluarga apabila meninggalkan kerjaya dalam industri minyak untuk menjadi artis.
“Kami kumpulan ‘plus-size’ yang pandai menyanyi dan menari, sesuatu yang tidak pernah dilihat di dunia.
“Kami tidak ubah seperti sekawanan panda – sedap dipeluk, comel, bulat, santai dan sentiasa gembira,” katanya dipetik The Guardian.
Bagaimanapun, kumpulan itu tetap melalui latihan intensif ala K-pop dengan dipantau jurulatih dan pakar terapi profesional.
“Pernah sekali Husky pengsan ketika sesi latihan, dan ada antara kami pernah juga tercedera,” kata DING yang pernah menjadi model ‘plus-size’.
Pada awalnya mereka terpaksa berdepan kritikan hebat terutama di media sosial, namun dua anggota bekas ‘boyband’ popular ‘Nsync mengongsikan video memberikan sokongan atas apa dilakukan mereka itu.
Single pertama Produce Pandas, ‘La la la’ mendapat sambutan baik bukan saja di China malah negara lain dan imej dipaparkan nyata diterima positif kerana diilihat menjadi inspirasi bahawa seseorang tidak perlu mempunyai bentuk badan dan wajah sempurna untuk mencapai impian mereka.
Kematangan juga memberikan mereka persepsi berbeza dan amat realistik dengan apa yang dihadapi.
“Kami melalui latihan intensif kerana mahu menjadi profesional setaraf kumpulan idola lain. Tak guna hanya bergantung kepada gimik – kami berazam kekal lama dalam bidang ini sebagai satu pasukan,” kata Husky.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]