
Kuala Lumpur: Ketika mula ditubuhkan pada 2001, kumpulan rock alternatif, Estranged percaya mereka melakukannya hanya kerana minat yang mendalam terhadap muzik.
Namun, tanpa mereka sedar, kumpulan itu bukan hanya mampu bertahan lama dalam industri malah menjadi platform yang boleh menyebarkan kebaikan kepada orang lain.
Kumpulan berasal dari Sabah itu kini dianggotai Rich Gimbang, Nor Hanafi Nor Hadi dan Din Hormatov.
Seperti yang boleh dilihat ketika ini, situasi pandemik Covid-19 yang melanda menyukarkan golongan penghibur termasuk kumpulan itu untuk mengadakan konsert dan persembahan.
Bagaimanapun, ia tidak mematahkan keinginan mereka untuk terus menghibur apabila kumpulan itu kini memanfaatkan bakat mereka menerusi projek kemanusiaan di Sabah.
Menerusi beberapa konsert amal dan hasil jualan barangan, Estranged gigih membantu golongan kurang berkemampuan dan meningkatkan kualiti hidup mereka di seluruh Sabah.
Usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik ini sememangnya menjadi inisiatif dalam program bantuan belia dan kanak-kanak.
Selain itu, beberapa kawasan perkampungan juga tidak perlu lagi bergelap setiap malam apabila Estranged turut membantu mereka mendapatkan bekalan elektrik.
Lebih menggembirakan lagi, mereka turut merealisasikan impian penduduk di Kampung Barambang untuk menikmati kemudahan internet baru-baru ini.
FMT sempat meluangkan masa bersama kumpulan ini yang baru saja berada di Kuala Lumpur.
Menurut Rich, mereka mendapat inspirasi untuk menghasilkan lagu dari pelbagai tempat.
Katanya, dia bertanggung jawab menentukan irama dan struktur lagu dan kadangkala mendapat inspirasi menulis lagu dengan hanya duduk di kedai mamak atau dalam suasana kampung yang tenang.
“Ketika ini, Rich sedang mempunyai banyak idea. Biasanya dia akan mula memainkan lagu itu sebelum menunjukkan kepada kami. Kemudian, kita akan menambah pula idea masing-masing,” kata Din.

Menurut Estranged, berbanding muzik dari Semenanjung yang biasanya dipengaruhi oleh trend terkini, muzik di Sabah dan Sarawak pula adalah pelbagai dan genre bandar serta kampung juga terpisah.
Baru-baru ini, kumpulan terbabit mengeluarkan lagu single Inggeris terbaru berjudul Endless Dreams yang banyak menerapkan penggunaan alat muzik India untuk menghasilkan iramanya.
Menerusi lagu mereka sebelum ini, Estranged menampilkan alat muzik tradisional Borneo termasuk sapeh dan gong.
“Kita sebenarnya amat bernasib baik kerana mempunyai kepelbagaian budaya dan sejarah. Jadi, kami fikir mengapa tidak memanfaatkannya saja,” kata Din.
Keputusan mereka untuk mengeluarkan single tersebut adalah sesuatu yang mengambil masa sangat lama dan di luar kebiasaan selepas kali terakhir mereka mengeluarkan lagu single Inggeris.
Rich menjelaskan, kali terakhir mereka muncul dengan lagu single Inggeris ialah pada 2013 dan sejak itu peminat sering tertanya-tanya mengenai lagu berikutnya.
Mereka tidak berniat untuk mengecewakan peminat tetapi pembikinan lagu Endless Dreams tertangguh seketika.
Namun, situasi pandemik memberi peluang kepada kumpulan itu untuk menyiapkan lagu terbabit dan mengeluarkannya awal tahun ini.
Biarpun artis lain sibuk mengikuti trend terbaru, namun Estranged tidak mahu lari daripada konsep mereka demi menjaga hati peminat.
Manakala Hanafi pula berkata, lagu itu tersirat mesej positif kepada pendengar supaya yakin dengan diri sendiri dalam menggapai impian mereka.
Pada masa sama, Estranged juga mempunyai beberapa lagi projek tahun ini bersama album baru pada Jun, bertajuk Sepenuhnya Vol 2.
“Harap tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik,” kata Din yang berharap untuk mengadakan jelajah ke utara dan Semenanjung tahun ini.
Mengenai projek kemanusiaan, mereka juga berhasrat mengumpul dana menerusi hasil derma yang disumbangkan oleh peminat setia.
Memandangkan kumpulan itu sudah bertapak hampir dua dekad, ramai tertanya-tanya apa rahsia mereka bertahan lama berbanding sesetengah kumpulan yang sukar untuk kekal.
“Sebuah kumpulan sepatutnya boleh berbincang seperti keluarga besar,” kata Din.
Hanafi pula berkata, komunikasi dan kepercayaan amat penting dalam sesebuah kumpulan.
“Kita harus memastikan bahawa semua anggota mempunyai matlamat yang sama sekali gus boleh meletakkan kepercayaan di atas diri masing-masing.
Din juga menjelaskan, amat penting untuk sesebuah kumpulan mempunyai perancangan jangka panjang kerana perjalanan kerjaya sebagai pemuzik di Malaysia bukan satu perkara mudah.
“Tetapi jika anda suka dengan apa yang dilakukan, terus lakukannya dan ikut gerak hari. Anda akan tiba juga,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]