
PETALING JAYA: Sejak awal kemunculannya menerusi siri Kopitiam, teater, muzikal dan filem cereka, diam tak diam sudah dua setengah dekad insan dikenali sebagai Douglas Lim ini mencuit hati rakyat Malaysia dengan jenakanya.
Lebih dikenali dan diiktiraf sebagai pelawak komedi stand- up, di dalam dan luar negara, anak seni ini mendapat jolokan ‘Raja Komedi Malaysia’ selepas menyertai gala Melbourne International Comedy Fest pada 2019.
Kini, sama seperti orang lain, walau terpaksa duduk di rumah berikutan perintah kawalan pergerakan, Douglas masih mampu membuat orang ketawa.
Terkenal sebagai insan yang tidak boleh duduk diam, dia menyibukkan diri dengan menghasilkan video satira pendek yang ‘hit’ dan tular setiap kali dikongsi di akaun media sosialnya.
Video-video ini mengetengahkan pandangannya mengenai pelbagai subjek, disampaikan secara monolog lucu atau lagu-lagu, dan biasanya memaparkan komen berbaur sindiran ringan mengenai hal ehwal tempatan dan perkembangan politik semasa.
“Dalam lawak stand-up, ia lebih kepada monolog pemerhatian di hadapan khalayak; tetapi dalam bentuk video, untuk lebih selamat, saya menggunakan metafora atau kiasan yang diperluaskan supaya orang ramai memahami bahawa itu adalah parodi atau satira,” kata pelawak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Metafora ini boleh jadi apa saja dari wabak zombie yang mewakili situasi Covid di Malaysia, hinggalah kepada mi segera “berperisa hipokrit” untuk merujuk kepada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Kebanyakan videonya tular melebihi 100,000 tontonan, termasuk video yang menampilkan visual yang diambil dari FMT, di mana Douglas terlebih dulu memohon maaf (dan FMT menerimanya dengan baik).
Idea untuk menghasilkan kandungan dalam talian tercetus sebenarnya lebih kepada keperluan berbanding perkara lain.
“Saya tidak pernah betul-betul aktif di media sosial; Saya bergantung pada media tradisional memandangkan usia saya,” kata lelaki berusia 43 tahun yang cukup ramah itu.
“Proses ini melibatkan pemerhatian terhadap sesuatu, menulisnya sebagai satu jenaka, mengumpulkannya dan memasukkan ke dalam persembahan untuk tempoh…katakan, sebulan – satu pertunjukan bersama rakan-rakan baik saya,” katanya, merujuk kepada pelawak Phoon Chi Ho, Kuah Jenhan dan Jason Leong. Mereka turut bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Pelawak Cina Malaysia (MACC) pada tahun 2009.
“Tapi kita tak boleh buat persembahan sekarang. Jadi, saya masih melihat-lihat bahan yang kami ada dan bertanya, ‘Ini memang boleh jadi kelakar, tapi bagaimana? Kita tak boleh adakah pertunjukan – jadi mari kita lakukannya dalam bentuk video.”

‘Watak penggalak’
Douglas mula berkecimpung dalam dunia hiburan tanah air pada pertengahan 1990-an, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), apabila bakatnya sebagai pelakon berjaya dihidu veteran teater Faridah Merican dan Joe Hasham.
Namun wataknya sebagai Steven, seorang pendandan rambut dalam sitkom NTV7 “Kopitiam” pada tahun 1998 terus melonjakkan namanya.
Watak Steven cukup berjaya sehingga Douglas dicalonkan sebagai Pelakon Terbaik Komedi dalam Anugerah Televisyen Asia. Lagu tema rancangan itu turut dinyanyikan bersama Chelsia Ng.
Kopitiam, yang disiarkan selama tujuh musim dan menghasilkan sekuel pada tahun 2019, membuka jalan kepada Douglas untuk membintangi teater dan filem serta komedi.
Antara filem lakonannya termasuk “1957: Hati Malaya”, “Arwah Pak Mat Lif & AJK”, dan terbaharu watak cameo dalam filem “Chomel” terbitan Astro.
Antara teater yang pernah disertainya termasuk muzikal “Lat Kampung Boy”, “Cuci”, “P Ramlee” dan “Ola Bola”.
Sambil ketawa, Douglas berkata dia sering diambil untuk melakonkan “watak penggalak”.
“Saya sering menjadi seorang lelaki China yang hadir untuk menyebut beberapa skrip lucu sebelum berlalu pergi. Bila keadaan agak membosankan, tarik Douglas Lim masuk, biar dia cakap sesuatu yang lucu dan keluarkan dia semula,” ujarnya.

Walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan, cinta pertamanya tetap komedi ‘stand-up’. Selepas Kopitiam, dia terbang ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Ketika berada di sana, dia berulang kali mendengarkan CD pelawak Scotland Billy Connolly.
“Kemudian saya kembali ke Malaysia dan melihat Harith Iskandar membuat persembahan. Pada masa itu, saya berharap dapat menjadi penyanyi-penulis lagu tapi tidak ada yang menunjukkan berminat,” katanya ceria.
“Kemudian Harith naik membuat persembahan, orang ketawa selama setengah jam, dan saya berfikir, ‘Itu…itu saya boleh buat.'”
Dia menyifatkan komedi ‘stand-up’ sebagai “suntikan dopamin terpantas”, bahkan lebih pantas daripada mendapat perhatian di media sosial.
“Ada orang memuat naik bahan semata-mata untuk lihat berapa banyak “tanda suka” yang mereka dapat. Bayangkan beratus-ratus atau ribuan kali lebih banyak lagi, ketika anda berada di atas pentas dengan ratusan atau ribuan orang.
“Apabila anda menyebut satu ayat hingga buat penonton hilang akal dan melihat anda dengan penuh kekaguman, seolah-olah anda adalah perkara terbaik yang pernah terjadi dalam hidup mereka – itu sangat menggembirakan,” ujarnya.
Tidak hairanlah kini Douglas menjadikan video sebagai pengganti untuk beraksi di pentas, selain menyertai acara dalam talian lain seperti kempen ‘kesedaran cirit-birit’ yang dianjurkan oleh Smecta Malaysia baru-baru ini.
Walaupun muncul di video cukup menyeronokkan, dia seperti ramai artis lain, serta seluruh rakyat Malaysia tidak sabar menunggu perintah sekatan perjalanan berakhir.
“Satu perkara yang boleh menjadi iktibar kepada kita ketika wabak ini adalah, kita masih memerlukan hubungan manusia. Anda rasa anda perlukan gajet ketika terdampar di pulau sendirian? Tidak,” katanya dengan tegas.
“Menyentuh soal bagaimana pandemik ini ditangani, saya rasa perasaan saya sama dengan kebanyakan mereka di luar sana, kecewa, marah dan putus asa tetapi bercampur dengan rasa syukur dengan apa yang kita ada, rakan-rakan dan keluarga yang kadang-kadang dapat kita temui,” katanya lagi.

Katanya industri hiburan telah “tersekat” akibat wabak itu.
“Penyanyi, penari, DJ, orang-orang IT, penjagaan busana, pereka set – kami tidak dapat berbuat apa-apa. Sebilangan besar daripada kami telah menceburi perniagaan makanan dan minuman. Kelebihannya mungkin, kami lebih banyak menulis kerana banyak menghabiskan masa di rumah.
“Pemuzik boleh bersiaran secara penstriman langsung atau seumpamanya tetapi ia tidak sama,” tegasnya.
Douglas berharap, dia akan beroleh semangat baharu sebaik pertunjukan secara langsung di hadapan penonton dibenarkan.
“Apabila kami kembali, kami akan penuh bersemangat semarak api. Saya telah melakukan komedi ‘stand-up’ selama 13 tahun dan ya, kadang-kala saya rasa lesu dan keletihan.
“Tapi kalau anda beritahu saya sekarang yang kita akan ada penonton, semestinya saya akan tampil penuh bertenaga.”
Saksikan video Douglas Lim’s di Youtube, dan berhubung dengannya di Instagram dan Facebook.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].