
Seorang lelaki sanggup mendedikasikan masa hampir satu dekad daripada kehidupannya demi menghasilkan sebuah projek miniatur tiga dimensi mega kampung halamannya di Middlesbrough, England.
Berbekalkan daya tumpuan, kesabaran serta ketelitian yang tinggi, Steve Waller, 61, akhirnya berjaya menyiapkannya selepas menghabiskan masa 15 jam sehari.
Dia melakukan setiap perincian pada setiap struktur bangunan di kawasan St Hilda itu dengan teliti yang setiap satunya bersaiz satu milimeter (mm).
Waller menjadikan pelan asal bandar itu pada 1830 sebagai rujukan untuk membina semua 50 bangunan perbandaran dan 300 rumah teres dengan menggunakan kayu dan damar.
Dia mengakui, projek itu benar-benar menguji kesabarannya ke tahap paling tinggi kerana mengambil masa terlalu lama selain perlu mengendalikan objek kecil.
“Saya mengakui bahawa projek ini menjadi semakin lama semakin besar dan ia dianggap sebagai satu obsesi. Saya seolah-olah hilang dalam ‘dunia’ yang dicipta sendiri.
“Kadangkala, ada juga masanya apabila semua tidak menjadi ketika cuba membina bangunan daripada serpihan kecil ini.
“Ia membuatkan saya terasa ingin memusnahkan semuanya dan membuang keluar tingkap. Nasib baik saya tidak melakukannya. Saya bukanlah Van Gogh, tetapi boleh memahami keadaannya ketika dia menjadi gila dan mengerat sebahagian telinga,” katanya.
Menurut Waller, dia memulakan projek itu secara tidak sengaja sebaik sedar daripada kecederaan dialami akibat bermain kriket.
“Ketika pulih daripada kecederaan, saya membayangkan moyang saudara, James Bateman yang pernah berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama dengan rejimen King’s Royal Rifles sebelum meninggal dunia dalam Perang Somme pada 1916.
“Saya bayangkan laluan yang mungkin diikutinya ketika berjalan di Middlesbrough untuk menaiki keretapi ke Winchester iaitu terletaknya pangkalan tentera.
“Bermula daripada situ, saya terus mengeluarkan peta dan menggambarkan semuanya secara tiga dimensi. Sejak itu saya berusaha membina miniatur ini sehingga ia disiapkan,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]