5 makanan popular Malaysia berasaskan telur

Hari Telur Sedunia disambut bagi mengenang peranan telur dalam kehidupan kita. (Gambar Bernama)

Telur ayam, sumber protin yang paling popular dalam masakan masyarakat di Malaysia. Samada ia telur rebus, telur goreng, telur dadar atau telur hancur, semuanya memang makanan kegemaran masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Tahukah anda, terdapat Hari Telur Sedunia yang telah disambut sejak 1996 lagi. Mari kita lihat makanan kegemaran rakyat Malaysia berasaskan telur.

1. Telur masak kicap

Telur masak kicap, masakan paling mudah dan sedap dimakan. (Gambar Pixabay)

Masakan ini memang paling mudah. Buat yang ringkas pun sudah menyelerakan. Memang sesuai untuk pelajar atau mereka yang selalu terkejar waktu.

Hanya goreng telur, tumis bawang dan masukkan kicap lemak manis serta sedikit air. Lima minit semuanya siap. Makan pula dengan nasi putih yang hangat. Memang menyelerakan.

2. Nasi lemak

Nasi lemak, makanan paling popular di Malaysia.

Nasi lemak, kalau tak ada telur memang tak lengkap. Tak kiralah telur rebus atau goreng, inilah yang menyempurnakan hidangan nasi lemak bila dimakan bersama ikan bilis, kacang dan sambal.

3. ‘Hawker fried oyster omelette’

‘Fried oyster omelette’, memang popular di Penang. (Wikipedia)

Bagi masyarakat Cina, memang terkenal dengan masakan penjaja ‘fried oyster omelette’ atau telur dadar goreng tiram atau juga dikenali sebagai “oh chien”.

Masakan ini perlukan keseimbangan antara telur dan tiram untuk mendapatkan rasa sempurna.

4. Roti John

Roti John hidangan popular di bulan Ramadhan.

Hidangan istimewa dan mesti ada pada bulan Ramadhan yang menggunakan telur. Ia menggunakan telur yang banyak untuk memberi kesedapan berganda.

Umpama ‘sandwich’, ramuan roti john adalah campuran telur, daging atau ayam dan bawang. Pendek kata, roti john tidak akan sempurna tanpa telur.

5. Roti telur

Roti telur, kegemaran pelanggan di kedai mamak. (Wikipedia)

Siapa yang tidak pernah makan roti telur kalau ke kedai mamak. Selain roti canai, roti telur juga menjadi kegemaran pelanggan. Sedap dimakan begitu sahaja atau bersama kuah kari atau dal. Tetapi tidak lengkap kalau tidak disertakan kopi atau teh panas.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]