Cuka epal dan khasiat semulajadinya

Cuka epal dihasilkan daripada 100% bahan semulajadi tanpa kimia yang berbahaya.

Cuka epal diperbuat daripada cider dan dihasilkan daripada 100% bahan semulajadi tanpa bahan kimia yang berbahaya. Sepertimana jenis cuka yang lain, ia mempunyai rasa yang masam disebabkan oleh kehadiran asid asetik (acetic acid) dan asid malik (malic acid).

Ia juga kaya dengan pelbagai khasiat bukan hanya kepada kesihatan tetapi juga kecantikan. Pahlawan Samurai Jepun turut dikatakan meminum cuka epal untuk meningkatkan kekuatan dan ketahanan tubuh mereka.

Berikut adalah antara kebaikan cuka epal yang perlu anda tahu.

Membantu menurunkan berat badan

Asid asetik yang terdapat di dalam cuka epal bertindak mengganggu keupayaan tubuh untuk mencerna kanji. Ini menjadikan hanya sedikit jumlah makanan yang dipecahkan menjadi kalori dalam aliran darah sekaligus memberi kesan yang kecil terhadap berat badan anda.

Tetapi, terlalu banyak asid asetik juga akan merosakkan tekak.

Oleh itu, cara terbaik adalah dengan mencampurkan satu sudu cuka epal dengan kira-kira 250 ml air dan ambil sebelum makan.

Merendahkan tahap kolesterol

Kajian dalam Pakistan Journal of Biological Sciences mendapati, tikus yang diberi cuka epal mengalami pengurangan LDL (kolesterol jahat) dan mengalami peningkatan HDL (kolesterol baik).

Selain itu, epal juga mengandungi pektin, jenis serat yang didapati boleh menurunkan tahap kolesterol.

Memutihkan gigi secara semula jadi

Cuka epal juga boleh bertindak sebagai agen pembersih. Ia bukan sahaja membantu menghilangkan kotoran pada gigi malah, boleh membunuh bakteria yang menyebabkan penyakit gusi tertentu.

khasiat cuka epal
Cuka epal merupakan sumber anti oksidan yang kuat dan baik untuk kesihatan tubuh.

Merupakan sumber anti oksidan

Cuka epal kaya dengan sebatian bio-aktif seperti asid asetik, catechin, asid gallik, asid kafein dan lain-lain. Kesemua asid ini mempunyai sifat anti oksidan yang kuat, juga baik untuk kesihatan tubuh.

Membantu merawat candida

Candida adalah yis fungi yang hidup di permukaan kulit. Ia membiak dalam persekitaran berasid disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat.

Cuka epal mengembalikan keseimbangan pH dalam badan dan mewujudkan persekitaran beralkali serta menggalakkan pertumbuhan bakteria baik.

Bakteria yang sihat ini boleh menyembuhkan candida. Enzim-enzim kaya yang terdapat di dalam cuka epal berfungsi mengawal kehadiran candida.

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Brazil bertajuk “Antifungal Activity of Apple Cider Vinegar on Candida Species Involved in Denture Stomatitis” yang diterbitkan pada tahun 2015 mengatakan ciri-ciri anti kulat cuka epal boleh bertindak terhadap Candida dan memberi manfaat terapeutik.

khasiat cuka epal
Cuka epal membantu merawat kelemumur dan meningkatkan kesihatan rambut.

Meningkatkan kesihatan dan penampilan rambut

Cuka epal juga dapat meningkatkan keupayaan rambut untuk menyerap dan mengekalkan kelembapannya.

Ia menutup kutikel dan membantu rambut mengekalkan lebih banyak kelembapan. Namun begitu, cuka epal juga boleh menjadikan rambut mengalami kekeringan. Oleh itu, anda perlu menggunakan pelembap selepas menggunakannya.

Cuka epal juga boleh membantu merawat kelemumur. Keasidan yang dimilikinya menjadikannya sukar untuk kulat (yang menyumbang kepada kelemumur) untuk berkembang biak pada kulit kepala anda.

Merawat ketuat

Sapukan cuka epal pada bahagian ketuat dan tutup kawasan ketuat tersebut dengan menggunakan band-aid. Biarkan ia semalaman dan tanggalkan band-aid pada waktu pagi.

Ulanginya setiap hari dan anda akan dapat lihat hasilnya dalam tempoh seminggu atau lebih.

Beberapa laporan kajian mencadangkan bahawa penggunaan topikal asid asetik dengan kepekatan tinggi boleh membantu mengurangkan ketuat.

Membantu melegakan pedih ulu hati dan refluks asid

Pedih ulu hati dan refluks asid sering kali disebabkan oleh asid perut yang terlalu sedikit.

Cuka epal yang berasid, memberikan persekitaran asid yang sama seperti di dalam perut dan membantu pemecahan makanan.

Ini boleh membantu mengubati pedih ulu hati atau refluks asid. Cuka epal juga mengandungi sifat-sifat anti mikrob yang boleh menghalang masalah usus tertentu yang mungkin menyebabkan refluks asid.

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]