
Tahap kesedaran masyarakat di negara ini terhadap perlunya kemahiran asas bantuan kecemasan termasuk bantuan kardio pulmonari (CPR) masih sangat rendah, iaitu pada kadar 1:10 pada 2019 berbanding negara lain di dunia.
Kadar ini sangat rendah berbanding Switzerland dengan nisbah 6:10 di mana pesakit segera mendapat bantuan CPR daripada orang awam sebelum dikejarkan ke hospital.
Tidak hairanlah panjang lebar juga bebelan pemilik akaun Facebook Celoteh Dr Malar mengenai satu insiden membabitkan seorang pesakit jantung dan isterinya.
Dalam perkongsian yang menerima lebih 9,600 tanda suka itu, pengamal perubatan yang lebih dikenali sebagai Dr Malar menceritakan rentetan soal jawabnya bersama waris pesakit yang mengalami serangan jantung di rumah sehingga membawa kepada beberapa pendedahan yang mengejutkan.
Menurut Dr Malar di awal pesakit dibawa ke hospital, dia difahamkan isterinya telah melakukan CPR namun apabila dia bertanya secara terperinci rupanya CPR yang dimaksudkan adalah dengan meniup berterusan ke dalam mulut pesakit tanpa menekan dadanya.
“Saya rasa pelik sikit dan apabila saya tanya adakah dia menekan dada suaminya untuk CPR? Dia cakap tak, dia hanya tiup bagi pernafasan dalam mulut sebab takut suaminya tak boleh bernafas.
“Hadoiii, saya tak dapat nak jelaskan perasaan saya waktu itu. Ini ke yang dia maksudkan CPR?!” keluh Dr Malar.
Kesalan yang dirasai Dr Malar terhadap rakyat Malaysia yang tidak mengambil tahu pengetahuan asas melakukan CPR benar-benar membuatkan dia kecewa.
“Kekecewaan yang saya rasa waktu itu memang tak terkira. Rakyat Malaysia ni kan, kalau video viral TikTok laju je tengok, Insta live artis wajib tengok, tapi pengetahuan basic macam CPR ni tak pernah ambil endah nak tahu,” tambahnya.
Sambil itu, dia sempat memberi sedikit tip cara melakukan CPR.
“Kalau tengok pesakit tak sedar, cari nadi di bawah tengkuk, kalau tak ada nadi, mulakan tekanan dada.
Kalau tak pasti, tak apa mulakan juga tekanan dada.
Menurutnya lagi, jika pesakit tersedar, bermakna dia merasa tekanan dada yang menyakitkan dan sekiranya pesakit tidak sedar dan tiada nadi, bermakna tekanan dada itu adalah bantuan untuk jantung pesakit mengepam darah ke seluruh badan.
Pemilik nama lengkap Dr Malar Santhi Santherasegapan yang aktif di media sosial itu mengakhiri coretannya dengan dua fakta dan hakikat yang cukup penting mengenai CPR.
“Adakah CPR menyelamatkan nyawa? Ya, CPR adalah penyelamat nyawa.
“Adakah CPR memanjangkan usia? Tidak, ajal maut di tangan Tuhan, kita hanya berusaha. Tapi kena usaha betul betul, dengan ikhlas, sehabis baik, lepas tu baru boleh berserah,” katanya sambil menambah agar jangan memberi pesakit makanan atau minuman semasa dalam keadaan tidak sedar atau tidak bernafas kerana dia boleh tersedak apabila makanan atau minuman tersebut masuk ke dalam paru-parunya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]