Pada 2020, peristiwa seorang pelajar terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan jalur lebar bagi membolehkannya menduduki peperiksaan dalam talian menjadi berita hangat, yang tersebar ke seluruh dunia.
Kes ini adalah satu kejutan yang menyedarkan kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan perkhidmatan jalur lebar di negara kita. Apa puncanya? Izinkan saya membuat sedikit kupasan.
Transformasi industri telekomunikasi bermula dengan pengkorporatan JTM (Jabatan Telekom Malaysia) pada pertengahan 1980-an. Semua aset dan pelanggan JTM dipindahkan kepada sebuah syarikat yang kita kenali sekarang sebagai TM (Telekom Malaysia).
Tiada persediaan untuk mengasingkan penjual borong dan penjual runcit bagi meningkatkan persaingan dalam industri. Ini adalah kesilapan pertama.
Penjual borong untuk menguruskan prasarana tertentu yang boleh disewakan kepada penjual runcit, yang menyediakan perkhidmatan kepada pengguna. Kita perlu mempunyai ramai penjual runcit untuk merancakkan persaingan bagi memberi pilihan kepada pengguna.
Pada 1998, Akta Komunikasi dan Multimedia (yang dikenali sebagai CMA 1998) dilancarkan untuk meningkatkan persaingan dalam industri. Beberapa jenis lesen diperkenalkan – NFP (Network Facility Provider) untuk syarikat yang membina prasarana pasif (seperti kabel dan menara telekomunikasi); NSP (Network Service Provider) untuk syarikat yang menyediakan prasarana aktif (seperti lebar-jalur atau bandwidth) dan ASP (Application Service Provider) bersama CASP (Content ASP) bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan aplikasi (seperti telefon, laman sesawang, TV, radio) kepada pengguna secara runcit.
NFP menyediakan prasarana kepada NSP dan NSP pula menyediakan perkhidmatannya kepada ASP dan CASP. Kesilapan kedua berlaku apabila syarikat dibenarkan memiliki ketiga-tiga jenis lesen secara serentak. Ini menyebabkan syarikat besar yang memiliki prasarana bersaing dengan penyedia aplikasi (peruncit) yang menyewa prasarananya. Tentunya penyewa (peruncit) sukar bersaing dengan pemberi sewa (pemborong).
Tujuan asal CMA 1998 untuk meningkatkan persaingan terencat. Kita memang mempunyai banyak pemegang lesen, tetapi yang aktif sangat sedikit. Banyak yang “hidup segan, mati tak mahu”. Bayaran lesen tahunan bagi setiap pemegang lesen NFP dan NSP ialah RM50,000 atau 5% daripada pendapatan tahunan, yang mana lebih tinggi, tak kira beruntung atau tidak.
Kita sebenarnya cuba mengelak berlakunya keadaan monopoli. Ini menyebabkan banyak syarikat muncul yang bersaing untuk menyediakan prasarana dan perkhidmatan. Namun, prasarana pasif (misalnya kabel dan menara) biasanya menggunakan tanah milik negara.
Pada suatu ketika dahulu, di atas sebuah bukit kita boleh nampak beberapa menara. Jalan pula dikorek tiga kali (sebagai contoh) untuk pasang kabel oleh tiga pemegang NFP yang bersaing. Ini kesilapan ketiga.
Pembinaan prasarana pasif sepatutnya dilakukan secara monopoli oleh syarikat milik kerajaan, yang tidak bermotif keuntungan. Prasarana ini boleh disewakan kepada syarikat peruncit dengan harga kompetitif. Lebihan pendapatan boleh dilaburkan semula untuk mengembangkan prasarana, sesuai dengan peningkatan keluasan kawasan berpenduduk. Kesilapan ini masih boleh dibetulkan.
Dalam menyediakan perkhidmatan runcit kepada pengguna, sambungan-depan (lastmile) diperlukan. Ia boleh menggunakan teknologi tanpa wayar (seperti 4G, 5G, wifi) atau berwayar (kabel tembaga atau gentian optik).
Sambungan ini ialah antara sebuah POP (point of presence) yang berdekatan dengan pengguna (seperti menara telekomunikasi, bangunan pencawang, kabinet tepi jalan) dan peranti pengguna (seperti telefon bimbit, komputer peribadi, modem). POP pula bersambung dengan sebuah pusat pensuisan utama yang dimiliki penyedia perkhidmatan menggunakan sambungan-belakang (backhaul), biasanya berjarak jauh.
Kesilapan keempat berlaku apabila kontrak diberi kepada syarikat tertentu untuk menyediakan prasarana sambungan-depan bersama perkhidmatan runcit. Memang disyaratkan supaya prasarana ini (seperti gentian optik) dikendalikan secara terbuka (open access) – iaitu boleh disewa oleh peruncit lain.
Ini bermakna penyedia prasarana berkenaan perlu bersaing dengan pelanggannya sendiri (peruncit lain). Suasana persaingan yang sihat tidak mungkin wujud. Secara tidak langsung, peruncit yang mendapat kontrak akan bertindak sebagai sebuah syarikat monopoli. Inilah yang berlaku sekarang.
Sehingga Mac lalu, 7 juta sambungan-depan sudah disediakan berhampiran premis pengguna, tidak semua dilanggani. Pengguna boleh pesan untuk mendapat perkhidmatan pada bila-bila masa. Namun, hanya satu penyedia perkhidmatan yang biasanya boleh dilanggani. Tiada pilihan.
Ini berbeza dengan perkhidmatan wayarles kerana biasanya beberapa penyedia perkhidmatan menggunakan menara yang sama. Pengguna boleh pilih – Celcom, Maxis, U-Mobile, DiGi, atau yang lain. Namun demikian sambungan-belakang antara menara dengan pusat pensuisan biasanya tidak mencukupi. Ini berkaitan kesilapan ketiga.
Sambungan-belakang menggunakan gentian optik adalah mahal menyebabkan pengendali menggunakan sambungan gelombang mikro yang tidak tentu kualitinya – terganggu bila hujan atau ada pokok pada laluannya. Sambungan-belakang sepatutnya dikongsi.
Banyak menara dibina di kawasan luar bandar untuk menangani jurang digital tanpa sambungan-belakang (yang diserahkan atas budi bicara penyedia perkhidmatan). Ini adalah kesilapan kelima. Sepatutnya rangkaian gentian optik untuk sambungan depan dan belakang disediakan dulu. Menara boleh dibina kemudian jika perlu.
Dengan adanya gentian optik, perkhidmatan jalur lebar talian tetap atau wifi berkelajuan tinggi (sehingga 1 Gbps) boleh disediakan. Perkhidmatan 4G atau 5G boleh ditambah dengan mudah bila sambungan-belakang sudah ada. Tulisan saya sebelum ini adalah berkaitan https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2022/06/16/cheaper-solution-for-rural-broadband/
Secara ringkasnya, ini adalah rumusan saya:
- Pengendalian prasarana pasif (untuk sambungan-belakang dan sambungan-hadapan serta menara dan tiang telekomunikasi) perlu dibuat secara berasingan oleh pihak ketiga yang mempunyai lesen NFP sahaja (yang tiada kepentingan dalam perkhidmatan runcit) bagi membolehkannya dikongsi oleh penyedia perkhidmatan runcit (yang boleh bersaing untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna). Untuk mengelakkan pertindihan prasarana ini adalah lebih baik sekiranya ia dikendalikan oleh agensi kerajaan secara monopoli dan tak-ambil-untung.
- Pemberian kontrak kepada penyedia perkhidmatan runcit perlu dihentikan dalam mana-mana inisiatif kerajaan (seperti Jendela). Pengguna perlu diberi peluang untuk memilih. Hanya melalui persaingan, kualiti boleh dipertingkatkan dengan harga lebih kompetitif.
- Untuk jalur lebar luar bandar, mulakan dengan gentian optik, bukan menara seperti yang dibuat sekarang. Mulakan di kampung berhampiran dengan bandar dan kemudiannya dipanjangkan ke kampung lain berdekatan. Kabel gentian optik akan menjalar ke seluruh negara. Kos keseluruhan hampir sama atau lebih rendah berbanding kaedah sekarang. Kualiti dan kelajuan jalur lebar gentian optik jauh lebih baik berbanding 4G dan 5G.
- Perkhidmatan secara “best effort” perlu dihentikan. Kelajuan minimum bagi perkhidmatan jalur lebar perlu ditetapkan, bukan kelajuan purata. Kemudahan perlu disediakan untuk membolehkan pengguna mengukur kelajuan pada bila-bila masa secara standard.
Sekiranya kita membuat sesuatu dengan cara sama, kita tidak boleh mengharapkan hasil yang berbeza.
Mohamed Awang Lah terlibat dengan perkhidmatan internet sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia pada pertengahan 1980-an. Sebelum bersara, beliau berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Jaring Communications Sdn Bhd.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.