Kompaun individu langgar PKPP serta-merta

Individu yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan dikenakan kompaun serta-merta.

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara membenarkan polis mengeluarkan kompaun kepada pesalah yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di lapangan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya ada sekatan jalan raya kompaun itu boleh dikeluarkan terus.

“Kompaun serta-merta ini boleh dikeluarkan oleh anggota polis berpangkat inspektor dan ke atas,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata polis menahan 357 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 320 individu dikompaun manakala 35 direman dan 2 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (167), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (123), penjarakan fizikal (34), gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah (23), keluar rumah di kawasan PKPB tanpa kebenaran (5) dan langgar perintah kuarantin (5),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju meminta Jabatan Penjara Malaysia membentangkan SOP baharu bagi membendung penularan Covid-19 dalam penjara.

Katanya, ini termasuk SOP bagi membawa tahanan ke mahkamah untuk dituduh dan SOP pemindahan tahanan ke penjara lain.