PAS boleh pupuk perpaduan Islam dan bukan Islam di Sabah, kata Nik Amar

Naib Presiden PAS Nik Mohd Amar Abdullah berkata parti itu menolak tanggapan ia tidak sesuai menjadi sebahagian kerajaan Sabah.

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Nik Mohd Amar Abdullah berkata cadangan melantik wakil parti itu sebagai salah seorang daripada 6 Adun lantikan di Sabah mampu memberikan “sumbangan bermakna” kepada negeri itu.

Menurut laporan New Straits Times, beliau berkata cadangan itu berdasarkan kejayaan parti berkenaan dalam mentadbir Kelantan selama 30 tahun.

Beliau berharap Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor akan memilih seorang ahli PAS sebagai Adun lantikan kerana parti itu berpengalaman dalam pentadbiran negeri.

Amar turut menyelar Presiden PBS Maximus Ongkili berhubung bantahannya terhadap cadangan seorang wakil PAS dilantik sebagai Adun lantikan dalam DUN Sabah.

“Berdasarkan pengalaman kami dalam mentadbir Kelantan selama 30 tahun, saya percaya kami boleh memberikan sumbangan bermakna kepada Sabah.

“Kami tidak setuju dengan mereka yang mengatakan PAS tidak sesuai menjadi sebahagian kerajaan Sabah. Apa yang diperkatakan oleh Ongkili tidak boleh diterima.

“PAS adalah parti politik berdaftar yang tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sejak penubuhannya,” kata beliau kepada NST.

“Sumbangan PAS dapat dilihat di Kelantan. Orang Islam dan bukan Islam hidup dengan harmoni dan mereka tidak dilayan secara berbeza,” kataya.

Menurut Perlembagaan Sabah, kerajaan negeri boleh melantik sehingga 6 Adun dalam DUN. Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah menguasai 38 daripada 73 kerusi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa berkata beliau berharap PAS, yang juga rakan dalam Muafakat Nasional, diberi tempat sebagai Adun lantikan.

Bagaimanapun, Ongkili berkata PBS sudah memaklumkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Hajiji yang parti itu membantah cadangan berkenaan.