Covid-19: 5 kluster baharu

Lima kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini di Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak dan Labuan.

PETALING JAYA: Lima kluster baharu Covid-19 dikenal pasti hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2 kluster baharu dikesan di Sabah, masing-masing 1 di Kuala Lumpur, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, kluster pertama dikesan hari ini adalah kluster Tujuh Serangkai di daerah Tuaran, Sabah.

Katanya, kes indeks kluster itu (kes ke-11,569) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 5 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat mengenalpasti 22 lagi kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Hisham berkata, kluster ke-2 pula adalah kluster Tanamera dikesan di Tawau, Sabah.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu (kes ke-12,868) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 29 September lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Saringan kontak rapat mengesan 8 lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Katanya, kluster ke-3 adalah Jalan Pantai di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-14,265 dan kes ke-14,266) dikesan positif Covid-19 pada 8 Oktober lalu hasil saringan bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat mengesan 6 lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Hisham berkata, kluster ke-4 adalah Bah Arnab dikesan di Kuching, Sarawak.

“Kes indeks (kes ke-13,488) dikenal pasti positif Covid-19 pada 7 Oktober hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Saringan kontak rapat mengesan 3 lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kluster ke-5 dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu kluster Bah Bangat

Beliau berkata, kes indeks kluster itu (kes ke-12,377) dikesan positif Covid-19 pada 3 Oktober lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi, Sabah.

“Saringan kontak rapat mengesan 8 lagi kes positif Covid-19. Mereka dimasukkan ke Hospital Labuan untuk rawatan,” katanya.