Gangguan bekalan air di 28 kawasan Kuala Selangor 13 Okt ini

Air Selangor berkata gangguan itu berikutan henti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Sireh buat sementara waktu pada tarikh berkenaan bagi kerja-kerja penggantian injap. (Gambar Freepik)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 kawasan di wilayah Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9.30 pagi hingga 10 malam pada 13 Okt ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri memaklumkan, gangguan itu berikutan henti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Sireh buat sementara waktu pada tarikh berkenaan bagi kerja-kerja penggantian injap.

“Pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap di LRA Sungai Sireh ini akan membolehkan loji beroperasi dengan lebih cekap serta memastikan semua peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan optimum,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, penambahbaikan infrastruktur loji ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor untuk meningkatkan kualiti demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.

Tambahnya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dari LRA Sungai Sireh dan tekanan air pada sistem agihan.

“Air Selangor menasihatkan para pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.

Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah seperti berikut:

  1. Bagan Tengkorak
  2. Jalan Ban Canai
  3. Jalan Kunci Air Buang
  4. Kampung Ampangan
  5. Kampung Haji Razali
  6. Kampung Melaka/ Kampung Kilat
  7. Kampung Pinang
  8. Kampung Seri Tiram Jaya
  9. Kampung Sungai Burong 1 Parit 1 – Parit 4
  10. Kampung Sungai Kajang
  11. Kampung Sungai Tengi Kiri (Pekan Tanjung Karang)
  12. Kampung Tok Adam
  13. Kampung Ulu Tiram
  14. Lorong Bahagia
  15. Parit 1 Sungai Burong
  16. Seluruh kawasan Sawah Sempadan Blok A – Z
  17. Sungai Burong Sawah Parit 1 – Parit 4
  18. Sungai Sireh Lorong 1 – 23
  19. Taman Desa Jaya
  20. Taman Kopema
  21. Taman Radin Jaya
  22. Taman Sri Bakti
  23. Taman Sri Desa
  24. Taman Sri Jaya
  25. Taman Sri Setia
  26. Taman Sri Tanjong
  27. Taman Tanjung Karang/ Taman Ria Min/ Taman Ketam
  28. Taman Wawasan