Kerajaan P Pinang batal desak 4 Adun kosong kerusi

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan untuk menggunakan Seksyen 14A Perlembagaan Pulau Pinang berkaitan anti lompat parti ditangguhkan.

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri tidak akan mendesak 4 Adun Perikatan Nasional (PN) yang melompat parti dari Pakatan Harapan (PH) mengosongkan kerusi bagi mengelak 4 pilihan raya kecil diadakan dalam usaha mencegah penyebaran Covid-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, majlis eksekutif negeri membuat keputusan itu semalam berikutan kebimbangan peningkatan kes Covid-19.

Bulan lalu Chow mengumumkan untuk membentangkan usul Seksyen 14A Perlembagaan Pulau Pinang, bagi memaksa keempat-empat Adun mengosongkan kerusi mereka, ketika DUN bersidang semula pada Isnin.

Empat kerusi disandang Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam), Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Afif dan Zulkifli menyertai PPBM dari PKR, manakala Khaliq dan Zolkifly kekal dalam PPBM, yang bukan lagi sebahagian daripada PH.

Pada sidang media di Komtar hari ini, Chow berkata walaupun kerajaan yakin memperoleh undi yang cukup untuk mendesak mereka mengosongkan kerusi, ia akan ditunda pada masa lain, “apabila pilihan raya kecil mungkin diadakan dalam iklim yang lebih sihat.”

Beliau berkata, negeri itu sedar pilihan raya Sabah yang baru saja berakhir, menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

“Kami berpegang kepada pertimbangan utama kesihatan dan keselamatan rakyat harus diutamakan,” katanya.

“Kami tidak menggugurkannya. Kami akan melakukannya mungkin pada sidang DUN berikutnya, atau mungkin ketika keadaan kesihatan awam lebih baik. ”

PH yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah, mempunyai 33 Adun daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang.