Penjara guna SOP baharu sekat Covid-19

SOP baharu itu mengikut 3 katerogri iaitu pengurusan banduan di penjara, penerimaan banduan baharu serta SOP bagi mengiringi banduan ke mahkamah.

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP baharu berkaitan pengurusan di penjara bagi menyekat penularan Covid-19 sudah digunakan.

Beliau berkata, pelaksanaan itu berikutan semalam pihaknya meminta Jabatan Penjara Malaysia mengeluarkan SOP baharu berkaitan pengurusan dalam penjara.

Ismail memperincikan SOP baharu itu mengikut 3 katerogri iaitu pengurusan banduan di penjara, penerimaan banduan baharu serta SOP bagi mengiringi banduan ke mahkamah.

Katanya, bagi penerimaan banduan saringan Covid-19 akan dilakukan kepada banduan yang dikuarantin sebaik sahaja masuk.

“Banduan yang bergejala semasa dalam tempoh kuarantin hendaklah dirujuk kepada hospital dan saringan ke-2 akan dilakukan pada hari ke-13.

“Selepas tamat tempoh kuarantin, banduan yang negatif akan dipindahkan ke blok penempatan kekal pada hari ke-15 dan akan diasingkan selama 5 hari daripada bercampur dengan banduan lain,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata bagi SOP pengurusan banduan, jawatankuasa urusetia pengurusan krisis Covid-19 diwujudkan dan diaktifkan.

Katanya, pengoperasian penjara sementara diwujudkan bagi mengelakkan kesesakan.

“Mewujudkan ‘base’ untuk anggota Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan berhampiran bagi merawat banduan yang tidak kritikal di blok penempatan.

“Banduan sedia ada dalam penjara tidak dibenarkan keluar penjara kecuali bagi tujuan rawatan dan pengurangan kesesakan,” katanya.

Katanya, pergerakan dalam penjara dihadkan kecuali banduan dapur dan banduan kebersihan.

“Lawatan keluarga banduan dibatalkan serta merta. Membuat sanitasi dalam dan luar penjara 2 kali sehari,” katanya.

Menurutnya, SOP pengiringan banduan ke mahkamah atau pemindahan pula seperti penjarakan fizikal dalam kenderaan.

Beliau berkata, pemeriksaan kesihatan ke atas pegawai pengiring dan banduan perlu dilakukan untuk mengesahkan “fit to travelling” dan bebas gejala Covid-19.

“Memastikan penjarakan fizikal di dalam kenderaan, alat bantuan keselamatan dan kenderaan yang akan digunakan telah dinyahkuman.

“Peralatan bantuan lain termasuk sarung tangan, pelitup muka dan ‘hand sanitizer’ perlu disediakan sepanjang masa,” katanya.

Ismail berkata, maklumat lanjut bagi SOP itu boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).