PKPB Klang: Sekatan, penutupan jalan bermula tengah malam ini

Polis akan mengadakan sekatan dan penutupan jalan berikutan PKPB di Klang.

SHAH ALAM: Polis Klang Selatan akan mengadakan sekatan dan penutupan jalan raya mulai tengah malam ini, lanjutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata, sekatan jalan raya diadakan di Persiaran Pegaga (berhadapan Restoran Subaidah) dan Jalan Kim Chuan (berhadapan 99 Speedmart) di Bukit Tinggi serta di persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr Ismail, Taman Sri Andalas.

Bagi penutupan jalan, beliau berkata ia melibatkan Jalan Batu Unjur 9, Bukit Tinggi manakala di kawasan Taman Sri Andalas akan melibatkan jalan masuk berhadapan kedai elektrik Onking Chain-Store (Malaysia) Sdn Bhd (berhadapan Masjid Ar Rahimiah).

“Selain itu, Jalan Sri Siantan, Jalan Sri Siantan 41 dan Jalan Sri Damak 53 ditutup bermula lorong masuk berhadapan Kedai Motosikal Wisfatt sekitar kawasan Taman Sri Andalas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul memaklumkan orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke kawasan Bukit Tinggi (Taman Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa) dan Taman Sri Andalas dinasihat untuk mendapatkan surat kebenaran daripada polis.

Balai polis bergerak akan disediakan di 2 lokasi itu.

“Buat masa ini, tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke kawasan lain di daerah Klang namun ia tertakluk kepada perubahan semasa.

“Masyarakat dinasihatkan sentiasa mematuhi PKPB dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard PKPB,” katanya.

Katanya, masyarakat boleh menghubungi bilik gerakan Ops Covid-19 di talian 03 33762400 untuk sebarang pertanyaan atau aduan.