Rasuah paling banyak susahkan pembayar cukai, kata penyokong kempen antirasuah

Ketua SPRM Azam Baki berkata kes rasuah yang mengakibatkan ketirisan dalam perolehan kerajaan semakin kritikal.

PETALING JAYA: Para pejuang antirasuah memberi amaran tentang bahaya rasuah dalam perolehan kerajaan, dengan mengingatkan ketirisan itu akan mengakibatkan prasarana tidak berkualiti dan keyakinan terhadap agensi kerajaan terhakis.

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki minggu lalu berkata kes rasuah yang mengakibatkan ketirisan dalam perolehan kerajaan semakin kritikal, dengan 50% kes tersebut melibatkan agensi kerajaan.

Menyatakan rasuah meningkatkan kos menjalankan perniagaan, presiden Transparency International Malaysia Muhammad Mohan berkata ia akan menyebabkan syarikat berkompromi dengan spesifikasi untuk menjimatkan masa dan kos.

“Pada akhirnya, pembayar cukai pula menjadi mangsa,” katanya. “Bukan sahaja wang mereka dicuri, tetapi aset bernilai bagus milik rakyat dirompak kerana prasarana yang tidak berkualiti atau lemah yang dapat membahayakan keselamatan.”

Muhammad Mohan.

Ramon Navaratnam, bekas penasihat SPRM, berkata rasuah akan menyebabkan masyarakat tidak mendapat pelaburan yang betul, mewujudkan ekonomi yang tidak cekap dan meningkatkan ketidaksamaan pendapatan.

Beliau mendakwa syarikat asing memilih untuk melabur di Singapura, Korea Selatan atau Taiwan kerana rasuah di Malaysia menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada negara ini.

Mohan berkata para pelabur akan lebih berwaspada untuk memasukkan wang ke negara ini sekiranya kos menjalankan perniagaan meningkat disebabkan rasuah.

Azam menyentuh isu projek naik taraf jalan di Sarawak baru-baru ini di mana rasuah menyebabkan pengurangan kualiti kerja, sehingga menjadikan jalan tersebut mudah rosak dan menelan belanja kerajaan berjuta-juta ringgit.

Terdahulu, SPRM menahan 2 pengarah sebuah syarikat pada awal September selepas disyaki menghantar tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung 10 projek naik taraf jalan raya di Sarawak bernilai RM800 juta.

Ramon Navaratnam.

FMT melaporkan penduduk di Sarawak telah membuat banyak aduan mengenai keadaan jalan yang teruk itu kerana kualiti pembinaannya tidak memenuhi spesifikasi.

Beberapa jalan di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga rosak beberapa bulan selepas dibina.

Mohan dan Navaratnam berkata rasuah boleh mempengaruhi keyakinan masyarakat terhadap institusi awam, dan Navaratnam menambah, dasar kerajaan juga akan dipandang rendah.

“Kerosakan bermula dari atas,” kata Navaratnam. “Sekiranya anda tak ambil tindakan keras terhadap menteri dan pemimpin politik di peringkat kerajaan pusat dan tempatan, orang akan persoal,’Mengapa saya tak boleh merasuah?’ ”

Menggesa perdana menteri dan Kabinet untuk mengambil tindakan drastik memberantas rasuah, beliau menyarankan agar undang-undang antirasuah di negara ini diubah kepada hukuman yang lebih keras.

“Mereka yang didapati bersalah melakukan rasuah di China akan ditembak,” katanya. “Saya tak kata kita kena buat perkara sama di sini, tetapi kita mesti tanam rasa takut dari tertangkap.”