SPRM tunggu masa untuk tuduh individu terlibat kes hartanah Mara Inc

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini memaklumkan pihaknya sedang menunggu tarikh sesuai untuk menuduh beberapa pihak berhubung kes penjualan hartanah membabitkan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).

Azam berkata, timbalan pendakwa raya juga sudah bersetuju untuk menuduh.

“Kes ini saya boleh bagi ‘hint’. Timbalan pendakwa raya bersetuju untuk menuduh beberapa pihak, cumanya kami sedang aturkan masa untuk tuduh dan ada seorang mungkin duduk di Sabah, yang terlibat dalam kuarantin.

“Kita juga sedang atur masa. Kita tidak ada beri perlindungan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam wawancara MACC.FM hari ini.

Pada September lalu, Azam memaklumkan SPRM menjangkakan untuk mendakwa beberapa individu di negara ini berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada Mara Inc.

Azam juga berkata, siasatan pihaknya di peringkat domestik selesai dan perkara itu sudah banyak kali dilaporkan kepada Parlimen.

Sejak 2015, Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan SPRM terhadap anak syarikatnya, Mara Inc, berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.